KUANTAN- Penemuan sebuah peti besi khas dalam almari bilik tidur salah seorang daripada empat penghuni sebuah rumah di Taman Haji Ahmad di sini membongkar kegiatan mereka selepas polis mendapati peti itu digunakan sebagai tempat selamat untuk menyimpan dadah.
Hasil pemeriksaan ke atas peti besi yang agak usang itu, polis menemui lima peket plastik mengandungi 1,000 biji pil kuda (Methamphetamine) bernilai kira-kira RM17,500 (harga pasaran) dan wang tunai RM1,500 dipercayai hasil dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Thoon Khuan berkata, berikutan penemuan dadah terbabit, empat suspek berusia 21 hingga 31 tahun berasal dari Terengganu dan Pahang itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios berharga kira-kira RM80,000 dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z bermnilai RM4,500 yang digunakan suspek.
“Berikutan penahan dua penganggur, seorang juruteknik dan penghantar surat itu, polis percaya berjaya membanteras kegiatan pengedaran dadah jenis itu di sekitar Kuantan termasuk kepada golongan pelajar Institut pengajian tinggi di sini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadikan golongan pelajar sebagai sasaran memandangkan salah seorang suspek baru tamat pengajian di sebuah politeknik di sini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Thoon Khuan berkata, hasil ujian air kencing mendapati, semua suspek positif Methamphetamine.
“Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam dan pemantauan pihak polis selama seminggu sebelum serbuan itu dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam.
“Dalam serbuan yang diketuai Asisten Superitendan Azli Mohd Noor itu, polis bertindak menyerbu masuk ke dalam rumah tersebut sebelum terserempak dengan keempat suspek,” katanya.
Thoon Khuan berkata, menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan bagaimanapun usaha mereka gagal apabila berjaya ditahan.
“Hasil siasatan, salah seorang suspek mendedahkan tempat peti yang mengandungi dadah itu disimpan sebelum menyerahkan kuncinya kepada polis.
“Kita percaya dadah itu dibawa masuk dari negeri jiran dan nilai runcitnya mampu mencecah sehingga RM40,000,” katanya.
Menurutnya, Semua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selama seminggu bermula semalam hingga 21 Disember depan bagi membantu siasatan.
“JIka sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori,” katanya.
Friday, December 16, 2011
Simpan dadah dalam peti besi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: