jalan tiada turap

PASIR MAS – Penderitaan 300 petani di beberapa kawasan dekat sini, semakin kritikal apabila laluan utama untuk mengangkut hasil padi rosak teruk sejak setahun lalu.

Ketua Unit Bendang Bujuk, Husin Haron berkata, jalan sepanjang dua kilometer yang tidak berturap menyukarkan petani untuk menaiki jentera dan lori bagi mengangkut hasil padi.

Husin berkata, semua petani di sini memohon pihak berkenaan bersedia membantu petani menyelesaikan masalah ini dengan segera agar dapat memudahkan urusan pengambilan padi.

Menurutnya, rata-rata penduduk di sini bekerja sebagai petani, hanya mengharapkan sumber pertanian bagi menjana pendapatan dan menyara keluarga.

“300 petani di sini mengusahakan 1,000 ekar bendang sejak puluhan tahun lalu, maka kesulitan yang dihadapi sedikit sebanyak mengurangkan pendapatan mereka sekeluarga.

“Jika jalan ini diturap, ia akan digunakan oleh petani di kawasan seperti Bujuk, Gabus, Kolam, Baruh Kerchut dan Paloh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Unit Bendang Gabus, Yusof Zakaria berkata, kerja membaik pulih dan menurap jalan sepanjang dua kilometer ini akan menelap belanja sebanyak RM15,000.

“Perbelanjaan yang tinggi bagi kerja menurap jalan, menyebabkan petani di sini tidak mampu untuk mendapatkan kelengkapan menaik taraf laluan pertanian tersebut.

“Jalan yang rosak serta berlubang menimbulkan kerisauan setiap kali membawa keluar hasil padi, kerana lori mungkin terbalik atau terperangkap di dalam tanah,” katanya.

Yusof berkata, ia sekali gus akan menyebabkan semua urusan pertanian tergendala.

Dia berharap, agar rungutan mereka mendapat perhatian bagi membaik pulih jalan raya, memandangkan kawasan kampung mereka tidak mengalami banjir besar.