Dilahirkan pada 16 Februari 1991, penyanyi berasal dari Singapura ini mula mencipta nama di Malaysia pada 2007 sehingga mendapat perhatian peminat seni tempatan. Lagu Sayang Sayang diterbitkan menerusi album pertama berjudul Aliff menjadi siulan.
Penyanyi remaja ini sebenarnya telah menunjukkan minat dalam bidang nyanyian sejak di sekolah lagi. Bahkan seawal usia 16 tahun, dia dengan beraninya, tampil menyertai rancangan realiti popular Singapura, 'Anugerah', untuk mempertaruhkan bakatnya.
Biarpun tersingkir di awal pertandingan, pemilik nama Mohamad Aliff Aziz ini tidak mensia-siakan peluang keduanya, apabila dipilih meneruskan pertandingan itu kerana berjaya pada peringkat wildcard.
Menariknya, ketika berentap di pertandingan itu, Aliff Aziz adalah peserta termuda. Namun, usia bukan penghalang, apabila dia mempunyai pengikut tersendiri sehingga diangkat menjadi juara.
Kini Aliff mampu berbangga kerana semakin dikenali di Singapura dan Malaysia.
Bercerita mengenai ‘kehilangannya’ hampir dua tahun dalam industri ini, Aliff berkata dia bukan merajuk, sebaliknya memberikan komitmen dalam program khidmat negara di Singapura.
“Menjalani program berkenaan memberikan banyak pengalaman dan mematangkan diri. Penglibatan saya dalam bidang ini pula kerana minat dan saya serius untuk bergelar penyanyi.
“Kini, sampai masanya saya kembali mengubati kerinduan peminat yang telah banyak menyokong saya,” kata artis di bawah naungan Sony Music Malaysia ini kepada Zass.
“Buat masa sekarang saya masih dalam proses mengumpulkan lagu. Lima hingga tujuh lagu akan dimuatkan dalam album baru nanti. Genrenya masih sama, Pop, bagaimana pun ia tetap mempunyai kelainan dan kekuatan sendiri. Jika tiada masalah, ia akan dilancarkan pada Mac.
“Album ini adalah hadiah dan kejutan kepada peminat,” katanya yang kini sedang popular dengan lagu, Dilema Cinta, bersama bekas peserta Astro Talent Quest 2009, Hao Ren.
Dilema Cinta, asalnya adalah lagu nyanyikan Hao Ren dalam bahasa Cina dan kolaborasi pertama mereka dalam versi bahasa Malaysia, ternyata mendapat perhatian peminat.
Menetap di Malaysia
Dalam perkembangan lain, Aliff turut mengambil keputusan menetap di negara ini, bagi memastikan perjalanan kariernya lancar.
Menurutnya, keputusan tersebut bukanlah sekadar mengejar populariti semata-mata. Berbekalkan paras rupa menarik, dia tidak mahu dikatakan mencipta nama hanya kerana rupa.
“Peminat di Malaysia mengenali saya menerusi suara sebelum ini. Sebelum mereka tahu siapa saya, mereka telah mendengar lagu Sayang Sayang dan membuatnya ‘meletup’ ketika itu. Jadi tidak tepat jika dikatakan saya mampu pergi jauh hanya kerana rupa.
“Buat masa sekarang saya mahu fokus kepada karier. Lagi pun tanpa usaha sukar untuk saya kembali dalam bidang ini, setelah menyepi lama,” katanya.
Ditanya adakah kebanjiran penyanyi di Malaysia mendatangkan kegusaran kepadanya, Aliff berkata, sudah menjadi lumrah persaingan itu akan wujud.
“Saya sedar memang ramai penyanyi berkualiti di negara. Bahkan mereka juga mempunyai cara tersendiri menawan peminat. Begitu juga saya, saya juga ada identiti dan cara sendiri untuk memastikan saya mempunyai pengikut.
“Apa yang penting, saya memberikan yang terbaik dan pendengar puas dengan penyampaian saya dalam bidang ini,” akuinya senang dengan persaingan yang ada di antara penyanyi-penyanyi remaja sepertinya.
Sokong artis Youtube
Bagi penyanyi yang lahir daripada rancangan realiti, mereka mempunyai peluang yang cukup cerah dalam industri seni, kerana telah mempunyai peminat dan pengikut masing-masing sejak awal lagi.
Bagaimanapun, mereka turut berdepan dengan saingan daripada bakat-bakat baru yang lahir daripada laman sosial seperti You Tube. Lihat saja nama-nama seperti Yuna, Ana Raffali dan Najwa Latiff. Mereka punya pengaruh dan peminat tersendiri.
Mengulas perkara ini, Alif, menyambut baik kehadiran muka-muka baru yang berbakat malah menganggapnya sebagai saingan positif dalam industri seni.
“Ia adalah ruang bagi mereka yang mempunyai seni seperti menyanyi untuk memperlihatkan bakat mereka kepada dunia. Apa yang menariknya, bukan sahaja ia percuma malah boleh ditembusi oleh sesiapa pun dan di mana sahaja mereka berada.
“Bagi saya penyanyi yang lahir sama ada dari rancangan realiti mahupun You Tube tidak ada bezanya. Masing-masing mempunyai kebolehan tersendiri. Jika benar kami berbakat, dari mana pun kami datang, ia tidak menjadi persoalan,” kata anak sulung daripada tiga adik-beradik ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: