
TIGA puluh tahun berdiri teguh sebagai ikon muzik yang sangat dihormati, Search sewajarnya berbangga dengan apa yang telah mereka miliki hari ini. Bukan sahaja lagu-lagu mereka yang menjadi ingatan tetapi apa yang lebih hebat apabila mereka boleh dikatakan sebagai sebuah kumpulan yang cukup berpengaruh hari ini.
Kekuatan yang dimiliki Search bukan datang sekelip mata. Lebih tiga dekad menyelusuri perjalanan sebagai anak seni dan akhirnya kini mereka sudah ada di landasan yang benar.
Tapi, siapalah mereka tanpa sokongan padu peminat. Mana mungkin sesebuah kumpulan itu mampu berdiri teguh dalam jangka masa yang sangat panjang tanpa disokong oleh jutaan peminat setia.
Kini mereka kembali. Sebagai tanda menghargai sokongan yang tidak pernah jemu mereka kembali untuk menghiburkan peminat buat ke sekian kalinya.
Siri jelajah Konsert Fenomena Search 30 Tahun telah pun berlangsung tiga negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini. Mereka telah membuktikan yang penangan Seacrh mampu membuatkan penonton tidak berganjak walaupun dalam keadaan hujan di beberapa lokasi.
Peminat kumpulan ini di Sabah dan Sarawak tidak akan berputih mata kerana Search juga bakal membuat persembahan di kedua-dua negeri tersebut tidak lama lagi. Siri jelajah konsert tersebut akan dibawa ke negeri-negeri tersebut oleh penganjur bersama, Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd khusus untuk mereka di sana.
Konsert Fenomena Search 30 Tahun - Jelajah Borneo akan berlangsung di dua lokasi iaitu Kompleks Sukan Tawau, Sabah pada 24. Disember diikuti Stadium Negeri Kuching pada 31 Disember. Search yang terdiri daripada Amy selaku vokalis, Kid (gitar utama), Nasir (Gitar bass), Nordin (gitar kedua) dan Yazit (dram).
“Kami sangat sangat berbangga terutama kerana sekali kerana dapat kekal bersama selama tiga dekad dalam industri muzik tanah air, pada masa yang sama memelihara muzik rock di Malaysia.
“Ini mustahil untuk dicapai tanpa sokongan padu dan tanpa batas daripada peminat setia kami. Siri konsert ini adalah cara kami menunjukkan penghargaan kami terhadap sokongan mereka yang tidak berkesudahan.
“Dalam konsert itu nanti kami akan menyampaikan 20 lagu dari album lama dan baru. Dari aspek produksi, kami menjanjikan satu kelainan yang berkesan dengan reka bentuk pentas, dan juga sistem bunyi, lampu dan dan aspek-aspek lain yang dirancang dengan teliti oleh penganjur, bersesuaian dengan sambutan ulang tahun ke 30 kami.
“Bagi pihak Search, saya berharap anda semua akan datang untuk menyambut ulang tahun ke 30 Search dan sama-sama berhibur dengan rangkaian lagu-lagu terhebat kami. Konsert ini adalah hadiah kami kepada peminat setia kami di Tawau, Sabah dan Kuching, Sarawak. Kami menjanjikan satu persembahan menggegarkan yang tidak akan dapat dilupakan,” kata Amy lagi.
Untuk menarik peminat-peminat kumpulan ini mengisi ruang konsert di kedua-dua negeri tersebut yang boleh menampung sejumlah 30,000 orang, tiket-tiket konsert dijual dengan harga rata semurah RM25 yang jauh lebih murah berbanding harga tiket yang dijual untuk menyaksikan konsert yang sama di Semenanjung.
Peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert di Tawau dan Kuching boleh menghubungi talian hotline 013-8003030. Senarai penuh tempat yang menjual tiket-tiket konsert di kedua-dua lokasi tersebut disenaraikan dalam laman sosial Facebook - Fenomena Search 30.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: