Sunday, December 18, 2011

Cinta Afif di menara gading




Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dulu, Ahmad Afif Abas mendapat tawaran dan biasiswa bagi menyambung pengajian di sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Tapi memandangkan bidang yang ditawarkan tidak menarik minatnya, dia menolak dan memilih bidang lain di Universiti Multimedia Malaysia. Kini dia sudah berada di tahun kedua jurusan kejuruteraan kewangan.

“Memang saya berminat untuk menimba pengalaman di luar negara, tapi bidang sains komputer yang ditawarkan tidak membuka mata saya.

“Lagipun saya juga bimbang dengan pasaran kerja selepas tamat pengajian, kerana sudah ramai pemilik ijazah dalam bidang tersebut dari dalam dan luar negara.

“Saya memang minat dalam jurusan kewangan sebab itulah saya memilih universiti dalam negara sahaja,” kata Afif kepada Pancaindera.

Namun dia masih menyimpan keinginan untuk menyambung pengajian di luar negara ke peringkat sarjana selepas menggenggam ijazah pertama di sini. Dia dijangka tamat pengajian tahun hadapan.

“Kalau selepas mendapat ijazah saya tidak mendapat tawaran kerja yang baik, saya bercadang menyambung ke peringkat sarjana di luar negara.

“Memang dulu ada rasa terkilan bila ramai kawan terbang ke luar negara. Tapi buat apa saya bersusah-payah keluar negara kalau terpaksa mempelajari bidang yang saya tidak suka,” kata penghias ruangan Kacak Bergaya itu lagi.

Afif seorang yang menghargai masa. Apatah lagi memiliki minat yang tinggi membaca buku pengetahuan walaupun ia di luar kursus yang dipelajarinya.

“Saya memang minat membaca sejak di bangku sekolah lagi. Buku-

buku bacaan saya masih tersimpan di rumah keluarga di Melaka. Sekarang pun saya ada banyak buku bacaan di bilik saya di kampus.

“Saya suka mendapat ilmu dalam apa sahaja bidang. Paling saya suka pasal politik, pengetahuan umum serta isu-isu semasa,” kata bekas wakil pelajar di Universiti Multimedia itu.

Dia pernah berada dalam barisan Majlis Perwakilan Pelajar yang pro universiti selama sepenggal. Banyak pengalaman ditimba menerusi keaktifannya dalam majlis itu.

“Saya banyak berurusan dengan pelbagai peringkat, jadi ia boleh mematangkan serta membuatkan kita menjadi berkeyakinan bersemuka dengan sesiapa sahaja,” jelasnya yang pernah menjadi pengarah projek beberapa acara besar di kampus.

Afif yang memiliki senyuman manis itu juga meminati peragaan. Dia mahu berjinak-jinak dengan peragaan. Segala-

galanya bermula bila ada kawan rapatnya yang turut menjadi model sambilan.

“Saya seronok bila lihat kawan saya menjadi model untuk beberapa projek fotografi, jadi saya ingin mencubanya juga,” jelasnya apabila ditanya pasal kecenderungannya menyertai Kacak Bergaya.

Kalau ada peluang Afif juga mahu berjinak-jinak dengan bidang lakonan. Dulu semasa sebuah produksi drama menjalani penggambaran di kampusnya, dia pernah dapat tawaran menjadi pelakon pembantu.

“Pada masa itu saya sibuk dengan urusan Majlis Perwakilan Pelajar dan tugasan kursus, jadi saya terpaksa menolaknya," imbau anak muda yang minat bersukan itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: