pertandingan memancing

SHAH ALAM - Hadiah bernilai lebih RM130,000 bakal menanti peserta dalam pertandingan memancing Grand Slam GP Selangor 2011 di Taman Tasik Shah Alam, di sini Ahad ini.

Hadiah itu meliputi wang tunai RM81,900, sebuah kereta Proton Saga 1.3GLM bernilai RM38,000, 60 hamper, lima TV LCD 32 inci, 1,000 kemeja-T dan 1,400 mug yang boleh dimiliki peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Pertandingan dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan dikendalikan Wakjali Event Management selaku pengurus acara.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM40,000, kedua RM15,000 dan ketiga RM7,000.

Pemenang keempat menerima RM1,500, dan kelima RM700. Pemenang keenam hingga kesembilan menerima RM250, ke-10 RM200 dan ke-11 hingga ke-20, RM150.

Juara Grand Slam pula membawa pulang kereta Proton Saga 1.3GLM, naib juara RM10,000 dan ketiga RM5,000 Sempena pertandingan itu, penganjur melepaskan hampir satu tan ikan patin yang disempurnakan Exco Pemodenan Pertanian, Pembangunan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Pengarah Urusan Wakjali Event, Md Zali Kasran.

Penganjur turut menawarkan lima cabutan bonanza TV LCD 32 inci dan 30 hadiah cabutan bertuah dalam pusingan akhir. Yuran penyertaan adalah RM90 satu joran.

Kaunter pendaftaran dibuka di Laman Budaya Tasik Shah Alam dari jam 10 pagi hingga 5 petang hari ini manakala kaunter 24 jam dibuka bermula Sabtu hingga hari pertandingan.

Penganjur menyediakan 1,000 kemeja-T dan 1,400 mug kepada peserta yang mendaftar awal.

Acara lain yang diadakan sempena Grand Slam Memancing Selangor ialah pertandingan memasak ikan air tawar, pertandingan mewarna, futsal, memancing keli kanvas untuk kanak-kanak, gerai jualan, pertandingan tai-chi, kacau dodol, persembahan kugiran MBSA, gerai
pameran, jualan bunga, sand art dan lain-lain.

Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan boleh menghubungi 013-3588206, 016-2937741 dan 013-3838655.