MEWAH...kaftan bersulam dipadan bersama tudung bawal dengan perincian manik tampak lengkap tanpa perlu aksesori sarat.
MENAMPILKAN pelbagai pilihan warna daripada lembut ke terang ditambah dengan sulaman bunga pada bahagian hujung baju dan leher, busana ini boleh dipelbagaikan gayanya mengikut majlis yang ingin dihadiri.
Walaupun ringkas, rekaan kaftan yang sentiasa diterima pakai wanita sering menampilkan rekaan terkini bagi memberi kepuasan kepada penggemar gaya sopan dan anggun untuk digayakan.
Penampilan bertambah menarik apabila kaftan dipadankan dengan kain batik sutera halus membuatkan langkah si gadis tampak manis dan menarik.
Sarungkan saja kaftan bersama kain batik yang tidak dijahit mengikut pilihan sama ada lipatan biasa, belahan sisi atau konsep pareo bagi menghadiri majlis makan malam supaya kelihatan lebih eksklusif dan segar.
Ia bertambah menarik jika si pemakai bijak menyuai padan aksesori untuk tampil lebih menawan walaupun hanya mengenakan kaftan yang ringkas.
Pemilik Butik Styleicious, Aleenda Md Nor yang menjalankan perniagaan secara dalam talian, menganggap kaftan sebagai rekaan yang kekal lama dan masih diterima kerana menitikberatkan soal keselesaan dan memudahkan pengguna.
“Ia sentiasa diminati kerana boleh mempelbagaikan penggunaannya tidak kira ke majlis rasmi, makan malam ataupun bertugas di pejabat.
“Rekaan kaftan yang dihasilkan menggunakan fabrik sifon dan sutera cornelli misalnya direka sendiri bagi memberi keselesaan kepada pengguna.
“Semua rekaan yang dihasilkan akan disiapkan di Indonesia kerana memudahkan mereka mendapatkan material berkualiti untuk digunakan dan selepas itu barulah ia dipasarkan di negara ini.
“Terdapat dua jenis rekaan set kaftan yang direka bagi menunjukkan perbezaan iaitu di bahagian leher misalnya bentuk V dan bulat bagi memberi pilihan kepada pengguna mengikut keselesaan masing-masing.
“Set kaftan yang dipadankan dengan kain batik sutera halus itu boleh digayakan sesiapa saja kerana ia dihasilkan tanpa menetapkan saiz seseorang.
“Tambahan pula, paduan kain batik terbabit juga memberikan kemudahan kepada wanita pelbagai saiz bermula daripada kecil iaitu S hingga ke besar L supaya tidak terikat untuk mengenakan fesyen moden terkini tanpa batasan ukuran yang terdapat di pasaran.
“Ia membuatkan pilihan busana yang diketengahkan bukan hanya mudah digayakan, malah dapat memberi keselesaan kepada si pemakai kerana ia dihasilkan menggunakan fabrik yang senang dibasuh dan dijaga rapi,” katanya yang kini dianggarkan sudah menghasilkan 20 rekaan kaftan.
Menurut Aleenda, set kaftan yang direkanya mudah dijaga dan diselenggara dengan baik tanpa perlu menghantar ke kedai dobi bagi mendapatkan cucian kering.
“Ia tidak perlu dibasuh dengan cucian kering kerana ia boleh direndam untuk seketika dan angkat. Namun, selepas direndam, ia tidak perlu dikeringkan kerana akan menyebabkan baju berkedut dan sukar digosok,” kata Aleenda yang aktif dalam perniagaan kaftan sejak empat tahun lalu.
Selain kaftan, butiknya turut menjual jubah dan tudung bawal menggunakan perincian swarovski dan manik Jepun yang dihasilkan dengan buatan tangan di Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: