Monday, December 5, 2011

Rejimen Sempadan Sabah, Sarawak belum muktamad


SEBAHAGIAN Tentera Nasional Indonesia (TNI) merakamkan gambar kenangan bersama Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tengah) berjabat tangan dengan J. Suryo Probowo ketika jamuan lawatan operasi di Pos Biawak, Lundu, Sarawak, semalam.


LUNDU 30 Nov. - Cadangan menubuhkan Rejimen Sempadan di Sabah dan Sarawak bagi mengawal keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia belum dimuktamadkan kerana ia masih di peringkat kajian.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, berikutan cadangan itu melibatkan perkara dasar, penubuhan rejimen tersebut tidak semudah yang disangkakan.

"Selepas mengambil kira keperluan semasa bagi menangani isu keselamatan yang timbul di perbatasan, kita tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkannya pada masa depan.

"Bagaimanapun, ia masih dalam proses perbincangan, terutama hal-hal berkaitan pengukuhan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Kepala Staf Umum Tentera Nasional Indonesia (TNI), Leftenan Jeneral J. Suryo Probowo di Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak dekat sini hari ini.

Turut hadir, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah.

Pada sesi lawatan itu, Raja Mohamed Affandi dan J. Suryo turut meluangkan masa menanam empat batang anak pokok sebagai simbolik hubungan erat yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Mohamed Affandi berkata, setakat ini ATM dan TNI memiliki enam pos gabungan bersama di Sarawak dan dua di Sabah bagi menjaga kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan Barat.

Mengenai cadangan supaya ATM mewujudkan pos kawalan seumpamanya di Teluk Melano, Sematan, beliau menjelaskan, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Penyelaras Kawalan Operasi (COCC) Malaysia-Indonesia terlebih dahulu.

"Sekiranya diluluskan di peringkat COCC, ia akan dibawa kepada HLC (Jawatankuasa Peringkat Tertinggi) sebelum diputuskan oleh menteri masing-masing," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: