SUNGAI LANG – Sepanjang penubuhan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), berlaku transisi perubahan yang baik dari segi pencapaian akademik, kebolehpasaran, penyelidikan dan inovasi serta penglibatan penuntutnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Politeknik, Ghaus Ab Kadir berkata, kejayaan itu dapat memberi nilai tambah modal insan graduan dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara.
Menurutnya, laporan terkini menerusi Tracer Study mendapati bilangan graduan PSIS yang mendapat pekerjaan atau melanjutkan pengajian dalam tempoh enam bulan adalah tinggi iaitu sebanyak 76.3 peratus.
“Dalam usaha penyelidikan dan inovasi pula, PSIS dalam proses untuk mempatenkan prototaip Control Pile Measurement (CPM) iaitu hasil kajian projek akhir pelajar dalam jurusan kejuruteraan awam.
“Prototaip CPM ini akan diguna pakai sebagai satu instrumen untuk memeriksa cerucuk dengan cepat, mudah dan tepat di mana proses ini dapat menjimatkan masa, tenaga pekerja dan kos,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PSIS dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sebagai laluan kepada keperluan PSIS untuk membangunkan bidang tujahan Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Omar Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din.
Antara lain kejayaan PSIS adalah pencapaian mendapatkan tempat ketiga di pertandingan 6th Cisco Malaysia Networking Skills Competition’ di aman PSIS diberikan peluang mewakili Malaysia ke Asia Pasific NetRiders Challenge 2011’ dan saringan kelayakan ke World Skill Olympic 2011 di London.
Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti jabatan lain seperti Pameran Projek Semester Akhir Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Program My Poly My Future dan Program Karnival Rekreasi Rakan Muda Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2011 PSIS-Jelajah Mahasiswa adalah penjanaan kecemerlangan yang dilakukan oleh pihak PSIS.
“Menjadi harapan kita, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan PSIS pada masa depan,” katanya.
Sunday, December 4, 2011
Prototaip CPM PSIS bakal dipatenkan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: