Tuesday, December 6, 2011

PKS disaran labur untuk jenama semula

SEGARKAN...Abd Rahim bersama sebahagian jenama produk yang dibangunkan di DDEC.
SEGARKAN...Abd Rahim bersama sebahagian jenama produk yang dibangunkan di DDEC.

PUSAT Pembangunan Reka Bentuk (DDEC) yang berfungsi memberikan perkhidmatan penjenamaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan melakukan transformasi dari segi penjenamaan produk bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Rahim Hassan berkata, kebanyakan usahawan PKS khususnya Bumiputera takut membuat pelaburan bagi membangunkan jenama kerana tidak pasti dengan kesan yang akan diperoleh.


“Kebanyakan usahawan enggan meletakkan peruntukan bagi membangunkan jenama kerana menganggap ia tidak penting sedangkan dengan jenama yang kukuh, ia dapat memberi tanggapan baik kepada pengguna,” katanya, semalam.

Abd Rahim berkata, terdapat banyak usahawan yang mempunyai produk bagus, namun tiada pakej menarik terutama dari aspek pembungkusan kerana kebanyakan mereka tidak sedar kepentingan penjenamaan.


“Mungkin ramai yang tidak tahu kesan daripada jenama yang kukuh kerana ia bukan saja memberi impak pada pasaran tempatan, malah dapat membantu usahawan memasarkan produk ke luar negara.


“Sekarang bukan lagi zaman membungkus produk menggunakan plastik lutsinar sebaliknya memerlukan pakej menarik termasuk jenama yang menonjol,” katanya.

Berikutan itu, menurutnya DDEC yang berperanan memberikan perkhidmatan rundingan serta pembangunan jenama mengalu-alukan usahawan mengambil inisiatif untuk membina jenama mereka sendiri.


“DDEC ditubuhkan sejak 2007 dan kami bertanggungjawab membantu usahawan membina jenama. Malah, kami sedia membantu usahawan yang tidak mempunyai pengetahuan langsung dalam aspek penjenamaan dan memberikan perkhidmatan terbaik sehingga mereka memiliki jenama sendiri,” katanya.

Sejak ditubuhkan empat tahun lalu, kira-kira 39 jenama tempatan berjaya dibangunkan hasil bantuan DDEC antaranya produk kosmetik Simplysiti, Forest Secret dan Jonker Walk Kopitiam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: