Tuesday, December 6, 2011

Mahu pelanggan puas hati

JUADAH COMEL...hidangan turut disediakan untuk si cilik yang hadir pada majlis cukur jambul.
JUADAH COMEL...hidangan turut disediakan untuk si cilik yang hadir pada majlis cukur jambul.

BAGI sesetengah orang, kerjaya hakiki tidak bermakna rezeki yang diperoleh setiap bulan hanya terhenti setakat itu saja.

Mereka sanggup melakukan apa saja bagi menambah pendapatan terutama kepada mereka yang sudah berkeluarga apatah lagi jika perkara yang dilakukan itu mampu mendatangkan kepuasan.

  • Foto

    PILIHAN...set hiasan buaian untuk majlis cukur jambul disediakan pasangan Roz Izzany dan Muhammad Yusri.

  • Foto

    PILIHAN...set hiasan buaian untuk majlis cukur jambul disediakan pasangan Roz Izzany dan Muhammad Yusri.

  • Foto

    PILIHAN...set hiasan buaian untuk majlis cukur jambul disediakan pasangan Roz Izzany dan Muhammad Yusri.

Apa yang penting, ada kerajinan untuk berusaha dan rezeki yang diperoleh juga halal.

Bagi pasangan serasi, Muhammad Yusri Md Nor, 27 dan isterinya Roz Izzany Zainal Abidin, 28, keputusan membuka perniagaan sampingan yang menyediakan set buaian untuk majlis cukur jambul ternyata bukan satu pilihan sia-sia.


Bermula awal tahun lalu, Izzany dan suaminya melakukan usaha secara berperingkat untuk melengkapkan perniagaan mereka sebaik mungkin walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing.


Namun kerana mahu komited terhadap perniagaan, mereka langsung tidak kisah apabila terpaksa mengorbankan waktu terluang terutama jika menerima sebarang tempahan.

“Kami seronok menggerakkan perniagaan ini, jadi tidak timbul soal penat atau letih.

“Malah kami rasa teruja setiap kali menyiapkan tempahan terutama apabila hendak menghias buaian yang diminta oleh pelanggan.

“Biarpun kadangkala terpaksa tidur lewat, kami tidak kisah, janji setiap pelanggan puas hati dengan kualiti dan hasil kreativiti yang kami persembahkan.

“Hanya bergerak berdua untuk menjayakan misi kami, saya mengakui sangat bertuah kerana mempunyai suami yang amat bertimbang rasa dan prihatin selain memahami setiap kehendak saya dalam menyiapkan tempahan.

“Saya juga rasa bersyukur kerana suami banyak membantu dalam apa jua keadaan,”
kata Roz Izzany ketika ditemui di kediamannya, di Ukay Perdana, Kuala Lumpur.

Pasangan ini turut menjadikan rumah mereka sebagai studio peragaan bagi pelanggan yang mahu melihat dahulu contoh buai sebelum membuat keputusan.

Selain berkorban masa, mereka berdua juga sentiasa peka terhadap material terkini yang berada di pasaran dan untuk itu, mereka sering meninjau setiap barangan baru di pasaran.

“Saya dan suami berbuat demikian kerana mahukan yang terbaik untuk produk kami.

“Bukan hanya perlu berkualiti dan cantik, tetapi perlu juga peka dengan material atau hiasan terbaru yang terdapat di pasaran.

“Selain kami, ada juga ahli perniagaan lain yang turut menawarkan jenis perniagaan yang sama. Jadi saingan tidak kurang hebatnya dan sebab itu, kami mesti sentiasa peka,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Set buaian yang disediakan oleh Izzany merangkumi beberapa pakej, bergantung kepada bajet pelanggan.

Setiap set dilengkapi dengan dekorasi, tilam dan bantal manakala pakej yang lebih mahal akan dilengkapi dengan permaidani, set merenjis, lampu tumpu serta cenderamata untuk kumpulan marhaban.

Mengulas lanjut mengenai pembabitan awal Izzany yang bertugas di sebuah bank di ibu kota, segala-galanya bertitik tolak daripada majlis cukur jambul anak mereka, Muhammad Rifqi pada tahun lalu.

Mereka menyewa kelengkapan untuk majlis cukur jambul daripada seorang kenalan dan daripada situ, tercetus idea bagi menjalankan perniagaan berkenaan.

“Sebelum membuat keputusan, kami berbincang terlebih dahulu dengan rakan saya untuk buka perniagaan yang sama dan dia sedikit pun tidak menghalang.

“Alhamdulillah, sehingga kini, perniagaan kami berjalan dengan baik dan tidak pernah putus pelanggan.

“Sejak bermula pada awal tahun lalu, tempahan sentiasa ada, cuma kami perlu bijak dan berhati-hati dalam menerima tempahan kerana tidak mahu mengecewakan hati pelanggan,” katanya.

Selain set buaian cukur jambul, Izzany dan Yusry turut menyediakan set tambahan makanan seperti kek cawan, macaroon dan gula-gula bagi tetamu cilik mengikut harga dan tempahan yang dipilih oleh pelanggannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: