PENDANG - Pendapatan lebih 100 pekerja termasuk pemandu bas henti-henti Cityliner terjejas berikutan pemberhentian operasi di 18 daripada 20 laluan di Sungai Petani, Pendang dan Kulim sejak awal bulan ini.
Langkah itu terpaksa dibuat ekoran syarikat Kenderaan Langkasuka Sdn. Bhd. yang mengendalikan bas tersebut menanggung kerugian mencecah RM400,000 sebulan sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusi Kesatuan Pengangkutan Awam Semenanjung Malaysia (TWU) Sesi Alor Setar, Mohd. Shukri Mahmood berkata, kakitangan syarikat berkenaan kini hanya memperoleh pendapatan asas tanpa bayaran elaun dan kerja lebih masa.
"Pemandu bas hanya menunggu di depoh dan memperoleh pendapatan sekitar RM400 sebulan berbanding lebih RM800 (termasuk elaun) sebelum ini.
"Selain pendapatan pekerja, ia turut menjejaskan ribuan penduduk yang menggunakan khidmat bas henti-henti setiap hari," katanya kepada pemberita di Stesen Bas Pendang di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, pemberhentian operasi itu melibatkan laluan dari 13 buah taman perumahan di sekitar Sungai Petani, Pendang ke Alor Setar, Sungai Petani-Kulim, Baling dan Jeniang selain Alor Setar ke Kangar.
Bagaimanapun, syarikat itu masih meneruskan operasi di laluan Butterworth ke Sungai Petani dan ke Alor Setar.
Sementara itu, seorang pemandu, Ahmad Dahlil, 59, berkata, ini adalah kali pertama masalah seumpama itu berlaku sejak dia berkhidmat dengan syarikat itu kira-kira 30 tahun lalu.
"Sebelum ini majikan dapat menyerap kos tetapi sekarang syarikat mungkin tiada pilihan dan terpaksa hentikan operasi," katanya.
Seorang penduduk di Kobah di sini, Zaiton Shafie, 46, memberitahu, ketiadaan bas henti-henti menyukarkannya untuk pergi ke pekan memandangkan kos tambang teksi yang mahal.
"Saya terpaksa membayar tambang teksi sebanyak RM6 untuk pulang ke rumah berbanding tambang bas hanya RM1.30," katanya yang bekerja di kilang.
Dalam pada itu, jurucakap syarikat memberitahu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersetuju berjumpa dengan pihaknya bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, pihaknya berharap masalah itu dapat diselesaikan akhir bulan ini bagi membolehkan operasi bas henti-henti disambung semula awal tahun depan iaitu sebelum sesi persekolahan bermula.
"Kita harap satu dana disuntik sama ada menerusi bantuan kerajaan Pusat atau negeri bagi menampung kerugian yang ditanggung syarikat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: