Friday, December 9, 2011

Pandu Puteri dua rantau

PANDU Puteri yang sudah berusia 94 tahun di negara ini menjadi antara persatuan yang banyak membentuk dan mendidik wanita untuk bergelar sukarelawan.


TAHUN 2011 membawa sejarah yang besar dan bermakna buat Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sejak ditubuhkan di negara ini 94 tahun yang lepas.

Buat julung-julung kalinya Rantau Asia Pasifik dan rantau Arab menganjurkan program kerjasama antara dua rantau dengan Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi acara berkenaan.

Joint Asia Pacific-Arab Regional Training Of Trainers Workshop yang berlangsung dari 29 November hingga 2 Disember lalu diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, Selangor mengumpulkan lebih 100 jurulatih atau renjer dari 34 buah negara anggota rantau Asia Pasifik dan rantau Arab.

Menurut Pesuruhjaya Latihan PPPM, Tek Mohamad Nor, bengkel bertemakan perubahan itu memberi fokus dan tumpuan kepada latihan serta kaedah yang terkini supaya ahli-ahli yang terdiri daripada gadis remaja serta wanita dapat memanfaatkannya dalam abad ke-21 ini.

"PPPM berasa bertuah terpilih sebagai tuan rumah apabila pihak penganjur bersama dari rantau Arab memilih Malaysia sebagai destinasi bersejarah berikutan suasana dan persekitaran harmoni di negara ini," jelas Tek.

"Ia bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan dua rantau tetapi hasil daripada latihan dan perbincangan dalam bengkel jurulatih itu akan dibukukan untuk dijadikan panduan kepada semua jurulatih di rantau yang terlibat."

Dalam program bertaraf antarabangsa itu, isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Persatuan PPPM, Datin Seri Rosmah Mansor memberi ucap utama dan merasmikan program empat hari berkenaan.

Majlis penutupan pula disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua PPPM Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Haji Shahar Shah.

Bagi ahli Pandu Puteri, program sebegini tentu sahaja menerbitkan perasaan bangga dan puas setelah bertahun-tahun memberikan khidmat sukarela mereka kepada masyarakat.

Khidmat masyarakat

Sebagai antara persatuan yang terawal ditubuhkan di negara ini, sewajarnya PPPM menjadi perintis dalam perkembangan serta pertumbuhan potensi anak gadis remaja di negara ini.

Ia selaras dengan misinya melahirkan golongan wanita dan remaja yang berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai pandu puteri untuk kepentingan bangsa dan antarabangsa.

Bagi Pesuruhjaya Pandu Puteri Renjer, Habibah Abdul Rahman yang telah menyertai PPPM selama 36 tahun, setiap didikan dan latihan dalam Pandu Puteri bertujuan melahirkan individu yang boleh dicontohi.

Seawal sekolah rendah, murid perempuan mula diperkenalkan dengan Persatuan Pandu Puteri Tunas. Mereka dilatih melakukan kerja-kerja sukarela yang dekat dengan diri mereka selain kemahiran kelangsungan hidup yang patut diketahui dalam proses meningkat dewasa.

"Misalnya mencatat setiap perkara baik yang mereka lakukan seperti membantu nenek mengangkat kain, membantu guru atau rakan mengangkat buku dan bermacam amalan positif dan sukarela yang nampak kecil tetapi sebenarnya telah memberikan kesan yang baik dalam perkembangan diri mereka," jelas beliau.

Di peringkat sekolah menengah, mereka mula diperkenalkan dengan Persatuan Pandu Puteri Remaja dan Pandu Puteri Kadet. Selain didikan dan kemahiran yang diberi, ada lencana-lencana kecekapan tertentu yang boleh dipilih untuk melengkapkan kerja-kerja sukarela mereka.

Seterusnya di peringkat intitusi pengajian tinggi (IPT) ke atas, mereka digelar Pandu Puteri Renjer dan layak menjadi jurulatih. Mereka berpeluang meneruskan kerja-kerja sukarela dan khidmat masyarakat sehingga ke peringkat lencana tertinggi iaitu Lencana Kecekapan Kepimpinan.

Terkini terdapat satu lagi lencana yang membolehkan mereka menerima Diploma Jurulatih PPPM yang diiktiraf dalam dan luar negara.


ROSMAH dalam satu program kemasyarakatan Pandu Puteri yang mendekati pelbagai lapisan masyarakat.


Terus relevan

Menurut Habibah yang juga seorang bekas guru, beliau melihat PPPM masih dan akan terus relevan dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya dalam mendidik anak gadis berkenaan isu sosial dan remaja yang terlalu banyak mengupas cerita negatif terhadap golongan seusia mereka.

Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Zalilah Mohd Taib, di bahu mereka juga letaknya beban amanah yang besar dalam usaha membangun dan mencipta generasi wanita akan datang.

PPPM membantu anak gadis remaja dan wanita membangunkan potensi mereka sepenuhnya sebagai warganegara yang berdisiplin dan bertanggungjawab.

Sepanjang tahun lepas, pelbagai bantuan sukarela disumbangkan kepada masyarakat seperti program Reaching Out yang menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, bantuan untuk mangsa banjir di Kemboja dan menghadiri program seperti Persidangan Serantau Asia Pasifik ke-10 2010 di Maldives.

Tidak ketinggalan Forum Wanita Remaja Dunia di Oxford, England, Kem Seratus Tahun UK, Yorkshire dan pelbagai lagi program di peringkat nasional.

Ahli PPPM kini telahpun mencecah ke angka 80,000 dan bagi mereka yang aktif dan bersungguh-sungguh pelbagai ilmu dan pengalaman dapat dihimpun sepanjang penyertaan bersama PPPM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: