SELALUNYA muzium dikaitkan dengan pameran artifak-artifak yang hanya menarik minat golongan pencinta sejarah. Namun kini tidak lagi kerana muzium turut mempamerkan barangan kontemporari.
Malah melangkah ke Muzium Negara sekarang boleh menjadi inspirasi kepada bakal pengantin kerana sedang berlangsung Pameran Busana Perkahwinan Mutiara.
Bermula 26 November lalu dan dijangka berakhir pada 31 Disember ini, pihak Muzium Negara telah bekerjasama dengan jenama perhiasan mutiara terkenal, Rafflesia untuk mengadakan pameran tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, (JMM) Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran khas itu adalah acara sampingan yang diadakan pada musim tertentu.
"Ini adalah gandingan kali kedua antara pihak JMM dengan Rafflesia. Kami amat berharap dengan pameran khas ini dapat menarik pengunjung pelbagai lapisan masyrakat dari dalam dan luar negara," ujarnya pada majlis perasmian pameran tersebut di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis turut dihadiri pereka kasut terkenal, Prof. Datuk Jimmy Choo dan pengasas jenama Rafflesia, Winnie Sin dan suaminya.
Yang menarik tentang pameran itu ialah koleksi gaun pengantin, kasut, aksesori yang pernah ditaja oleh Rafflesia pada majlis perkahwinan artis dan selebriti tempatan.
Turut dipamerkan busana indah rekaan kebanyakan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa seperti Khoon Hooi, Keith Kee, Vera Wang dan ramai lagi yang disulami dengan biji mutiara indah dari jenama Rafflesia.
Kreativiti pereka itu begitu terserlah apabila menggabungkan keindahan mutiara pada busana indah yang dipakai oleh bukan sahaja pengantin perempuan malah lelaki juga.
Ia ibarat satu nilai tambah yang bukan sahaja memberikan kelainan malah menyuntik nilai eksklusif yang mungkin tidak boleh dimiliki dari mana-mana butik pengantin biasa.
Bukan itu sahaja, pameran tersebut juga bertujuan untuk mendidik masyarakat dalam mengenali secara lebih mendalam kepelbagaian mutiara dan fungsinya.
Menurut Ibrahim, pameran berkenaan mendapat sambutan pelbagai golongan sejak ia mula dibuka kepada umum seminggu lalu.
"Kerjasama pintar seperti ini akan diteruskan lagi di masa akan datang demi memastikan pengunjung muzium bertambah hari demi hari," jelas beliau.
Antara selebriti yang hadir pada majlis tersebut ialah Tasya Sheila, Izara Aisyah, Fara Liyana Idris, Bkay Nair, Amber Chia dan Memey.
Antara yang dipamerkan ialah baju perkahwinan Ning Baizura rekaan Rizman Ruzaini bernilai RM150,000, gaun perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza rekaan Khoon Hooi bernilai RM300,000, gaun perkahwinan Amber Chia rekaan Keith Kee bernilai RM380,000 dan gaun perkahwinan Memey rekaan Vera Wang bersama layah berhiaskan mutiara Rafflesia bernilai RM500,000.
Selain gaun pengantin terdapat juga kasut rekaan Profesor Datuk Jimmy Choo yang disulami mutiara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: