Thursday, December 8, 2011

Bukti anak Orang Asli mampu berjaya


Anak-anak masyarakat Orang Asli berpeluang meraih pendidikan yang sama seperti kaum lain di negara ini. - Gambar hiasan


SETINGGI mana pun Orang Asli belajar akhirnya ke hutan juga mereka kembali. Itulah antara kata-kata yang kerap dimomokkan ke telinga Adenor Awang, 12, oleh masyarakat di sekelilingnya.

Namun kata-kata itu langsung tidak menjadi kudis malah menjadi penguat semangat kepada remaja berusia 12 tahun itu untuk terus berjuang demi mencapai impiannya dalam pelajaran.

Nyata usaha dan penat-lelahnya berbayar apabila Adenor muncul sebagai anak daripada kaum Orang Asli pertama di Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah, Perak, yang mencapai keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Keputusan cemerlang itu bukan saja membolehkan Adenor mencatat rekod sekolah malah memecahkan rekod sebelumnya dicapai oleh abangnya sendiri yang memperoleh 4A 1B.

Sejarah kejayaan abang dan kakak dijadikan pembakar semangat oleh remaja ini untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada mereka.

Adenor juga sanggup menyahut cabaran bapanya sendiri supaya mendapat keputusan yang lebih baik dari abang dan kakaknya.

Ketika ditemui gadis pemalu ini kelihatan agak kekok sebaliknya dia lebih senang membiarkan bapanya, Awang, menjadi 'jurucakap' tidak rasmi untuk berkongsi rahsia kejayaan mendapat 5A dalam UPSR.

Awang yang begitu peramah dan sudi untuk berkongsi kejayaan anaknya, memberitahu antara rahsia kejayaan tersebut adalah suasana pembelajaran yang selesa di samping kerja keras dan dorongan kuat daripada ahli keluarga yang lain.

Awang mengakui cukup berbangga dengan kejayaan Adenor biarpun masih terpalit rasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk menghantar dua anaknya sebelum ini ke kelas tuisyen sebagaimana diberi pada Adenor.

Dia yang mengusahakan sebuah kebun bunga orkid, mengakui keluarganya bukanlah orang senang namun aspek pelajaran anak-anak tidak diabaikan.

"Kalau nak anak berjaya, jangan kedekut untuk labur pada anak-anak, saya rasa terkilan kerana saya tak hantar abang dan kakak Adenor ke tuisyen walaupun saya tahu mereka ada potensi untuk cemerlang

"Kini saya sedar dan terus menghantar Adenor ke tuisyen yang terletak di pekan Tapah kerana saya tengok keputusan peperiksaan ujian sekolahnya menampakkan potensi untuk berjaya dan cemerlang,"katanya.

Selain itu, Adenor juga mengikuti kaedah pembelajaran melalui rancangan Astro Tutor yang banyak membantu dalam meningkatkan tahap kecekapan dan prestasinya.

Pada masa sama, Adenor juga banyak mengikuti kursus dan bengkel pelajaran sama ada di sekolah mahupun anjuran agensi luar semata-mata mahu memantapkan ilmu akademiknya.

Sebagai masyarakat Orang Asli, Awang sedar akan kekurangan yang membelanggu kehidupan masyarakatnya namun itu tidak bermakna dia tidak mahukan perubahan.

Malahan sikap inginkan kemajuan menjadi salah satu faktor kejayaan dia dan anak-anaknya untuk meneruskan hidup pada hari mendatang.

Bapa kepada lapan orang anak ini juga banyak mendedahkan anak-anaknya kepada dunia luar agar lebih bersikap positif dan berfikiran terbuka dalam menjalani kehidupan sebagai manusia dan seorang pelajar.

Awang juga mempunyai prinsip dan matlamat hidup sendiri.

"Saya ada moto hidup saya sendiri iaitu SBBB - Saya Bersyukur, Saya Berusaha dan Saya Berjaya," katanya.

Paling utama, kata Awang, dia tidak mahu melihat anak-anak muda Orang Asli mengabaikan pelajaran.

"Kadang-kadang saya sedih melihat keadaan anak-anak muda Orang Asli sekarang yang lupakan sekolah, yang lelaki hisap dadah, perempuannya pula kaki joget di majlis keraian.

"Sebab itu saya tidak pernah beri kebenaran pada anak saya untuk ke majlis keraian, risau dia akan terdedah kepada aktiviti yang tidak sihat.

"Kita akan dianggap hebat jika berjaya dalam pelajaran, tetapi jangan gunakan jalan singkat untuk berjaya," pesan Awang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: