KUALA KRAI - Seorang pemandu prebet sapu nyaris maut selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di simpang masuk Ladang Pasir Gajah, dekat Kampung Keroh, di sini, petang kelmarin.
Pemandu terbabit, Mohammad Abdullah, 42, berkata, kejadian kira-kira 4.30 petang berlaku ketika dia dalam perjalanan menghantar dua penumpang dari bandar Kuala Krai ke Kampung Kuala Pertang.
Katanya, meskipun keretanya rosak teruk, dia bagaimanapun bernasib baik kerana hanya cedera ringan pada kaki manakala dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Saya berada di simpang masuk ke Pasir Gajah, apabila tiba-tiba sebuah kenderaan dipandu laju memotong dua kenderaan di belakang kereta saya, walaupun kawasan itu ada garisan berkembar dan merempuh bahagian pintu belakang.
“Akibat rempuhan, kereta saya berpusing dan rosak teruk pada bahagian sebelah kanan manakala pemandu yang melanggar saya melarikan diri,” katanya, di sini, semalam.
Kejadian berlaku hanya beberapa meter dari lokasi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lembu berkeliaran yang meragut nyawa seorang pemuda berusia 20 tahun, Ahad lalu.
Mohammad berkata, nombor pendaftaran Proton Wira yang melanggarnya bagaimana berjaya dikenal pasti selepas sebuah kenderaannya mengejar kereta terbabit sehingga Kampung Pek, dekat Machang.
“Siasatan awal polis mendapati kereta terbabit mempunyai hampir 10 saman yang tidak dibayar, dan saya harap orang bertanggungjawab melanggar kereta saya dapat dikesan secepat mungkin.
“Nasib baik ketika kejadian, saya masih belum membelok masuk, kalau tidak tak tahulah apa nasib kami bertiga,” katanya yang membuat laporan polis mengenai kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira jam 5 petang.
Sementara itu, Mohammad berkata, kejadian itu disifatkan sebagai sudah jatuh ditimpa tangga selepas rumahnya di Kampung Batu Jong, dekat sini, musnah dalam kebakaran, Julai lalu.
“Rumah baru saya masih belum siap dan sekarang ini, kereta pula rosak dan perlukan banyak belanja untuk membaikinya kerana inilah satu-satunya (pemandu prebet sapu) sumber pendapatan saya untuk sara keluarga,” katanya.
Sunday, December 18, 2011
Nyaris maut dilanggar lari
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: