![]() |
| Bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan. |
TAHUN 2012 bakal mencatatkan satu kenangan indah buat pelakon cilik, Mia Sara Nasuha kerana dia bakal menduduki alam persekolahan seperti kanak-kanak lain. Rasa teruja menyelubungi selepas diingatkan oleh bapanya, Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh tentang keindahan alam baru yang bakal ditempuhinya itu nanti.
“Tahun depan, umur Mia masuk tujuh tahun. Dah boleh pergi sekolah,” riang Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem Sekali Lagi pada pertemuan petang Isnin lalu.
Sebagai persediaan, Mia sedang mempelajari cara menulis, mengeja dan membaca di tadika sewaktu ‘bercuti’ dari sebarang penggambaran drama atau filem sejak Oktober lalu.
Sepanjang tempoh tiga bulan itu, Mia teruja setiap kali mempelajari sesuatu yang baru dalam kelas selain melatih membiasakan diri menerima suasana pembelajaran bilik darjah dan melupakan sebentar dunia penggambaran.
Ditanya di sekolah mana pelakon ini akan memulakan pengajian formalnya, Muhammad Ridhuan memberitahu, Mia akan dimasukkan di sebuah sekolah sekitar Kota Damansara.
“Biar dia belajar cara berkawan dengan rakan-rakan sebaya dengan pemantauan sepenuhnya daripada saya. Saya kena perhatikan Mia supaya tak ada perkara buruk berlaku, kena tengok keselesaan dia. Kalau dia rasa tak okey, saya kena buat sesuatu sebab saya amat mementingkan pelajaran dan tak nak dia ketinggalan,” jelas Muhamad Ridhuan.
“Kalau ada apa-apa kemungkinan yang berlaku melibatkan anak saya, saya akan pindahkan Mia di sekolah persendirian,” jelasnya.
Mengajukan persoalan tentang persiapan barangan alat tulis dan baju sekolah untuk kegunaan hari pertama persekolahan, lelaki ini memberitahu tiada kelengkapan dibuat tatkala ini.
Katanya, dia tak ada masa untuk membeli keperluan barangan sekolah Mia. Tapi dia akan membeli sekali gus dengan adik beradik Mia yang lain.
Muhammad Ridhuan merancang untuk mengehadkan waktu penggambaran apabila Mia sudah di bangku sekolah nanti. Ia bertujuan bagi memastikan anaknya itu sentiasa fokus dalam pelajaran tanpa sebarang gangguan.
Cukup-cukuplah Mia dah berlakon empat filem iaitu Papa I Love U, Temujanji, Sekali Lagi dan Nur Kasih The Movie.
“Saya akan bersikap selektif dalam setiap tawaran lakonan untuk Mia kerana mahukan kepelbagaian watak. Tak naklah bagi dia berlakon yang sama aja sebab tawaran yang datang kebanyakannya mahukan Mia berlakon watak yang sama saja.
“Sekarang ini, Mia teringin nak berlakon watak seram, jadi saya kena pertimbangkan kalau ada peluang sebegitu pada masa depan,” katanya di hujung perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: