Thursday, December 22, 2011

Merlin lebih dramatik

pix_gal0
Keakraban di lokasi rahsia persefahaman

DI dalam siri televisyen, Merlin, hubungan antara ahli sihir muda bernama Merlin dengan tuannya, Arthur digambarkan cukup akrab dan hakikatnya situasi sama berlangsung di luar skrin apabila kedua-dua pendukung watak utama, Colin Morgan serta Bradley James sememangnya bersahabat baik.Empat musim berganding bahu menjayakan produksi sama membuatkan mereka boleh berkongsi apa saja namun yang pasti, masing-masing sentiasa berusaha mempertajamkan skil lakonan demi memastikan kisah epik pengembaraan itu terus meraih perhatian ramai.
Mengakui menghilangkan tekanan berada di set dalam tempoh lama dengan menjadikan lokasi sebagai tempat menyeronokkan, gurauan dan usikan nakal antara rahsia melupakan lelah.

“Apabila bekerja kami sentiasa ketawa malah tidak semua babak tegang kerana adegan lucu Arthur dan Merlin dilihat mampu mengurangkan debaran penonton yang disogokkan pertarungan atau babak mendebarkan dan secara teknikalnya ia juga dapat meredakan keletihan kami.

“Boleh dikatakan kami tidak terasa seperti bekerja kerana berada di bawah pengarah seperti Alice Troughton, Alex Pillai, Justin Molotnikov dan Jeremy Webb umpama suntikan segar terhadap skil lakonan kami ,” kata Colin sambil tertawa.

Mereka diwawancara khas secara langsung oleh beberapa wakil media Malaysia menerusi laman maya Skype terus dari United Kingdom ke Seri Pentas Bandar Utama dalam sesi yang berlangsung kira-kira setengah jam.
Daripada temu bual secara maya ini, kedua-duanya menggambarkan musim terbaru Merlin sebagai semakin matang, penuh drama serta lebih aksi pertarungan berbanding tiga musim terawal.

Berbeza dengan James yang tidak nampak perubahan dari rupa fizikalnya, Colin pula kelihatan agak macho dengan imej jambang namun yang pasti mereka ramah melayani pertanyaan media baik mengenai siri berkenaan mahu pun sisi peribadi.

“Ya, tempoh yang lama di lokasi membuatkan kita mengenali rakan lain dengan lebih dekat. Bukan saja Colin, saya juga seronok berdampingan dengan Angel Coulby (Guinevere), Katie McGrath (Morgana Pendragon), Nathaniel Parker (Agravaine de Bois), Anthony Head (Uther Pendragon) dan ramai lagi.

“Selain pengarah yang sedia mendengar komen atau idea, antara pelakon juga saling melontarkan buah fikiran. Kami banyak berbincang biarpun sebenarnya lebih banyak berlawak daripada berkongsi pandangan secara serius,” tambah Bradley.

Mengorek lagi rentetan episod demi episod kerana dikhabarkan selepas Arthur menduduki takhta Merlin bakal membongkar kebolehan keajaibannya, masing-masing sekadar berpandangan sambil tertawa kecil.

Akui Colin yang juga kelahiran Republik Ireland, biarlah menjadi rahsia kerana kuasa jahat yang cuba menakluk Camelot selain usaha Morgana dan sekutu jahatnya membawa sebarang kemungkinan apatah lagi selepas terbukanya pintu laluan sakti ke dimensi lain.

“Kalau saya buka mulut satu persatu mengenai plot, tentu ia tidak lagi mendebarkan kerana setiap episod menjanjikan kepuasan tambahan pula dalam musim ini kuasa jahat bergabung untuk merampas Camelot dan jajahannya.

“Penonton juga tentu tidak menjangka karektor Merlin bakal berubah apabila dalam usaha menyelamatkan Arthur dan Camelot, dia berdepan pelbagai dugaan yang menyebabkan dia perlu membuat pilihan sama ada menonjolkan kemampuan sebenar atau terus berahsia,” dedahnya memberi sedikit petanda.

Bagi James, watak anak raja yang sudah bergelar raja itu semakin mencabar apabila dia perlu bertempur di medan perang dengan menonjolkan skil menunggang kuda dan aksi lawan pedang yang hebat.

Begitupun, babak lasak tidak membimbangkan aktor berusia 28 tahun itu sebaliknya perlu memakai kostum pahlawan Camelot yang berat antara situasi yang membuatkan pergerakannya perlu diseimbangkan.

“Bertuah jadi Merlin sebab tak perlu pakai kostum, cukup dengan jubah labuh tetapi saya perlu mengenakan persalinan serba sarat berjam-jam lamanya. Bayangkan kalau cuaca panas, berpeluh satu badan,” kongsinya yang tetap tertawa mengenang pengalaman di lokasi.

Cuma tambahnya paling mencabar dalam episod kali ini adalah ketika menjalani penggambaran di istana lama di Wales yang sepanjang penggambaran dipenuhi ramai pelawat apabila ada di antara mereka mengganggu tugasan.

“Pancaran cahaya kamera dan bunyi bising adalah masalah yang perlu kami tangani. Saya menghargai sokongan ramai tetapi sikap segelintir pengunjung kadangkala merosakkan agenda pada hari berkenaan.

“Namun kami melihat perkara itu dari sudut positif sekali gus menunjukkan maklum balas peminat kerana ketika musim terawal dulu lokasi warisan itu kurang pengunjung sebaliknya sekarang ia cukup meriah dan semakin terkenal,” kata Bradley lagi yang terharu dengan sambutan penonton termasuk di Malaysia.

Perbualan juga terarah kepada persediaan menyambut Krismas yang hanya tinggal beberapa saja hari lagi yang menurut mereka bakal diraikan bersama keluarga tersayang.

Siri Shine TV dan BBC Wales, episod pengenalan Merlin musim ke empat bermula pada 16 Disember lalu selama dua jam bermula 10 malam manakala episod seterusnya dapat diikuti di slot Mega Movie setiap Ahad waktu yang sama mulai 18 Disember.

Menonjolkan tema The Darkest Hour Is Just Before The Dawn, siri pengembaraan fantasi British itu bakal memaparkan sisi gelap dan personaliti berbeza setiap karektor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: