Thursday, December 22, 2011

Hafiz ada ‘barang’ baru

  • Foto

    Hafiz

  • Foto

  • Foto

Giat promosi lagu terbaru Watak selepas kejayaan Masih Jelas, Noktah Cinta, Awan Nano

SELEPAS tiga lagu solonya, Masih Jelas, Noktah Cinta dan Awan Nano mendapat sambutan hangat dan reaksi positif, penyanyi muda berambut kerinting ini sekali lagi tampil dengan ‘barang’ baru berjudul Watak.Satu demi satu lagu solonya mendapat sambutan memberangsangkan termasuk kejayaan Awan Nano, yang meraih lebih pendengar secara global, Hafiz atau Mohd Hafiz Mohd Suip akan berkunjung ke Jakarta awal tahun depan bagi mempromosikan lagu terbarunya.
Tuah badan, hasil duetnya bersama Nidji menerusi lagu Laskar Pelangi di suatu persembahan lewat ini, membuatkan peluang bekerjasama dengan syarikat rakaman dari negara seberang terbuka luas.

Langkahnya kini dilihat lebih utuh selepas beberapa kejayaan diciptanya termasuk memenangi anugerah Vokal Terbaik dan tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu yang ke-25 (AJL25) dengan lagu Noktah Cinta.

Lagu solo pertamanya, Masih Jelas layak hingga ke peringkat akhir pada anugerah sama sebelumnya. Kali ini sekali lagi lagu taruhannya, Awan Nano layak ke peringkat akhir AJL26 yang akan berlangsung pada 29 Januari depan.

Ini adalah pencapaian membanggakan apabila Hafiz berjaya tiga kali berturut-turut sertai anugerah yang bukan saja mempertaruhkan kekuatan seni cipta lagu, malah kekuatan vokal seseorang penyanyi itu.
Berkongsi perasaan, Hafiz bersyukur kerana ketiga-tiga lagu solonya itu mendapat penerimaan yang baik dan ini mendorongnya mengekalkan persembahan terbaik pada anugerah yang disertainya.

“Lagu Awan Nano mempunyai struktur yang kuat dan kemungkinan daripada penghayatan yang saya bawakan, lagu itu menjadikan lebih bermakna.

“Lagu ini juga menyentuh kehidupan yang lain dan karakter di muka bumi ini, lalu sedikit sebanyak membangkitkan kesyahduan setiap pendengar. Dengan izin tuhan dan adanya rezeki, mungkin saya akan mengulangi kemenangan lalu serta semestinya saya menjanjikan persembahan terbaik,” katanya yang ditemui di Konsert Akhir Reunion AF di Setiawangsa, baru-baru ini.

Pada malam konsert itu juga, Hafiz rasa sedih kerana berakhirnya program realiti yang menggilap bakat ramai bintang.

“Saya pun dilahirkan menerusi program ini. Semestinya saya rasa bersyukur, berbangga walaupun kini ia sudah menjadi memori. Menyertai AF adalah pengalaman terbaik dan berterima kasih kepada pihak yang menyediakan landasan untuk kami mewarnakan lagi pentas hiburan tanah air.

“AF adalah program yang menjadi ikutan orang ramai, tidak kira lingkungan usia, dari remaja hingga yang berkeluarga dan dengan penamatan program ini bermakna berhentinya fenomena. Namun di sebalik itu kami tidak akan melupakan AF, kerana inilah asal usul kami,” tambahnya lagi.

Boleh dikatakan, Hafiz adalah segelintir peserta AF yang sinarnya tidak pudar sejak menjuarai AF musim ketujuh pada 2009. Tidak sekadar mengungguli bersama barisan peserta AJL26, Hafiz juga dicalonkan sekali lagi pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) dalam pencalonan awal bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Agak terkejut apabila diberitahu mengenai perihal tersebut, Hafiz mengakui dirinya tidak tahu menahu dirinya tersenarai di kalangan 20 penyanyi lelaki popular tanah air. Pada masa sama, dia bersyukur kerana diberi peluang sejak 2009 lagi untuk terus memeriahkan dunia hiburan tempatan.

Di sebalik kejayaan yang diperoleh sebagai penyanyi, Hafiz meletakkan sisi peribadinya di tepi dan mengharapkan kerjayanya lebih dijadikan perhatian berbanding hal percintaannya bersama Adira.

Sama seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, dia akui hubungannya bersama bintang AF8 itu tidak lebih daripada sekadar kawan biasa dan sememangnya mereka tidak mempunyai sebarang ikatan sebelum ini.

“Dari dulu saya pernah katakan kami masih dalam tempoh mengenali hati budi masing-masing, walaupun saya mengaku saya rapat dengannya tapi itu tidak bermakna kami bercinta. Kami mahu lebih fokus dengan kerjaya dan karier seni masing-masing.

“Perkara ini sepatutnya tidak menjadi isu kerana saya pun mahu menjalani kehidupan seperti biasa. Saya akui sisi peribadi saya menjadi perhatian orang ramai kerana status sebagai artis tapi kes seperti ini tidak sepatutnya menyekat kegiatan harian saya.

“Saya sama seperti orang lain mempunyai perasaan dan saya tidak suka perkara seperti ini diperkatakan serta sebaiknya ia diletakkan di tempat kedua selepas kerjaya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: