Monday, December 5, 2011

Menyelami keindahan Istanbul


MASJID Biru pusat pelancongan paling popular di Istanbul.


MALAH bandar raya yang diiktiraf sebagai pusat metropolis itu juga kaya dengan sejarah peradaban Empayar Rome.

Selepas kejatuhan Rome, bandar tersebut semakin dikenali ramai lebih-lebih lagi setelah ditakluki oleh Empayar Turki Uthmaniyyah.

Kemegahan bandar tersebut berkembang dengan pesat sehingga suatu masa dahulu wilayah-wilayah seperti Austria, Algeria, Greece, Vennice dan Poland turut berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah yang terletak di Istanbul.

Istanbul penyatuan budaya Islam dan Rome

Walaupun kehilangan taring, Istanbul kini membangun menjadi sebuah bandar yang menyatukan peradaban Islam dan Rome selain dijadikan sebagai jantung utama pergerakan ekonomi Turki dan pusat kebudayaan yang dipenuhi dengan pelbagai binaan lama dan moden.

Istimewanya, destinasi ini amat terkenal dengan kemewahan landskap utama iaitu seni bina kuno yang boleh disaksikan pada binaan masjid dan gereja bersejarah yang menghiasi segenap penjuru bandar tersebut.

Khazanah peradaban Uthmaniyyah dan Rome

Pelawat dan pelancong yang menjejakkan kaki ke Istanbul pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat paling bersejarah di Turki iaitu Masjid Biru (Blue Mosque), Muzium Arkeologi Istanbul, Muzium Kesenian Turki dan Gereja Hagia Sophia dan Basilica Cistern.

Belayar sepanjang Bosphorus

Belayar di sepanjang Bosphorus merupakan kaedah terbaik buat pengunjung untuk menikmati panorama indah kota Istanbul.

Jalan air yang disediakan itu menyediakan pelbagai perkhidmatan feri-feri awam dan swasta yang boleh membawa pelancong bersiar-siar melihat panorama seluruh kota Istanbul dalam masa sehari.

Bazar rempah ratus

Tidak sah kunjungan anda jika tidak mengunjungi bazar-bazar yang terdapat di sekitar Istanbul tetapi dalam banyak-banyak bazar tersebut bazar rempah ratus sering menjadi pilihan ramai.

Ini kerana, pusat membeli-belah purba yang terdapat di kota tersebut pastinya menarik perhatian pengunjung dengan bau rempah sejak berabad lalu.

Tarian Sufi

Tarian Sufi yang merupakan tarian tradisional penduduk di Istanbul pastinya mempersonakan lebih-lebih lagi tarian Zikir Darwis berskirt warna putih itu amat berkait rapat dengan proses ritual yang mewakili alam semula jadi seperti bulan dan matahari.

Banyak tempat menawarkan tarian tersebut di sekitar Istanbul, bagaimanapun lokasi paling popular dikunjungi ramai ialah di Pusat Kebudayaan Hodjapasha dan Galata Mevlevihanesi yang terletak di belakang Blue Mosque atau di Bazar Arasta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: