|
SEMPENA musim cuti persekolahan, sudah tentu ramai yang mencari destinasi sesuai untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat handai.
Ada yang ingin bersantai di pantai sambil pukulan ombak menjadi lagu mendamaikan jiwa atau ada juga yang mahu meneroka hutan simpan negara untuk menghargai keindahan alam semula jadi.
Bahkan, ada juga yang mempunyai cara tersendiri dalam menghabiskan cuti apabila merasai pengalaman adrenalin sehingga berdegup jantung dengan menaiki roller-coaster.
Bagaimanapun, kekangan masa sering kali mencemburui kita apatah lagi apabila ingin mencari destinasi sesuai merasai pengalaman menaiki roller-coaster yang mengujakan.
Dalam memenuhi permintaan peminat roller-coaster itu, Carlson White Entertainment Technologies membawa masuk teknologi teater XD yang dapat menawarkan pengalaman pergerakan simulasi di dalam teater.
Pengarah Carlson White Entertainment Technologies, Michael Gomez memberitahu, teknologi teater XD yang ditawarkan di Menara Kuala Lumpur didatangkan khas dari Kanada.
“Kita sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Menara Kuala Lumpur dalam memperkenalkan teknologi terbaharu ini.
“Pengenalan teknologi teater tersebut di Menara Kuala Lumpur merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini,” katanya kepada Kosmo!.
Dia menambah, teater XD tersebut agak berlainan kerana mampu memberi pengalaman menarik enam dimensi (6D) kepada pengunjung.
Michael menjelaskan, secara dasarnya tiga dimensi (3D) hanya terletak pada tayangan filem definisi tinggi (HD) dipaparkan pada skrin.
Sebaliknya 6D menggabungkan pergerakan kerusi, efek cahaya dan efek angin.
“Dalam Teater XD ini, ia dilengkapi kerusi khas yang mampu mencecah sehingga 2G pecutan graviti. Ia akan mengikuti setiap pergerakan filem ditayangkan untuk memberi kepuasan kepada pengunjung.
“Efek pencahayaan dan efek angin yang mengagumkan melengkapkan tawaran 6D kepada pengunjung,” ujarnya.
Terdapat tiga tayangan ditawarkan kepada pengunjung iaitu Jett and Jin, Canyon Coaster dan Ravin Racer yang masing-masing mempunyai durasi selama empat minit.
Perbezaan
Teknologi teater XD sangat berbeza jika dibandingkan dengan platform pergerakan lain yang ditawarkan kepada pengguna.
Dia berkata, kebanyakan platform pergerakan masa kini akan menggerakkan semua kerusi yang terdapat di dalam teater.
Tidak seperti teater XD, beliau memberitahu, kerusi-kerusi yang terdapat di dalam teater tersebut akan bergerak secara individu.
“Dengan teknologi Mad Wave Motion, kerusi khas ini berupaya menjana sehingga 400 pergerakan malah, mampu mencecah sehingga 2G pecutan graviti.
“Ia adalah lebih laju berbanding platform pergerakan lain yang hanya mampu mencecah kelajuan pecutan graviti 1G sahaja,” ujarnya lagi.
Disebabkan kerusi-kerusi tersebut bergerak secara individu, Michael menambah, ia akan memberi pengalaman lebih realistik dan mengujakan kepada pengunjung.
“Bahkan, pengunjung tidak perlu berasa bimbang kerana jika tidak mampu mengawal rasa panik, anda hanya perlu membuka tali pinggang keledar untuk menghentikan kerusi terbabit.
“Ini kerana terdapat sistem automatik yang akan menghentikan pergerakan kerusi apabila dilucutkan tali pinggang keledar,” katanya.
Menjimatkan
Dari segi penyelenggaraan, ia lebih mudah diselenggara kerana hanya perlu membaiki satu kerusi sahaja berbanding seluruh platform sekiranya berlaku kerosakan.
Katanya, teater XD tersebut turut menggunakan sistem pergerakan elektrik yang lebih kos efektif dan mudah dikendalikan.
“Menariknya tentang sistem ini adalah, ia tidak memerlukan seseorang yang mempunyai pengetahuan teknikal dalam mengendalikan teater tersebut.
“Ia secara tidak langsung membolehkan sesiapa sahaja mengendali dan menyelenggara teater berkenaan,” katanya.
Michael menambah, dia bercadang memperluaskan lagi perkhidmatan teater XD di rantau Asia Tenggara.
Selepas Malaysia, beliau memberitahu, akan membuka teater XD di Singapura pula kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan di Menara Kuala Lumpur.
Mengujakan
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Samsul Zamzuri, 36, yang mengunjungi Menara Kuala Lumpur sempena cuti sekolah berkata, dia sangat teruja apabila mencuba dan memasuki teater XD tersebut.
“Apabila duduk di kerusi khas yang disediakan di dalam teater ini, saya berasa seolah-olah seperti menaiki roller-coaster sebenar.
“Berdebar dan agak terkejut juga apabila kerusi bergerak-gerak sambil merasai angin dan bunyi efek sepanjang empat minit di dalam teater,” katanya tersenyum.
Nur Insyirah Adriana Ishak, 5, pula memberitahu, dia sangat terhibur dan seronok apabila menonton teater 6D tersebut.
“Tidak takut tetapi sangat seronok dan akan mencuba lagi,” katanya.
Tarikan terbaharu
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said, berkata, teater XD yang menjadi tarikan terbaharu ditawarkan kepada pelancong tempatan dan luar negara mula diperkenalkan pada 11 November lalu.
“Para pelancong akan merasai pengalaman mendebarkan, teruja dan menyeronokkan apabila mencuba teater XD ini. Mereka akan merasai seolah-olah berada di awangan ketika menduduki kerusi di dalam teater tersebut,” katanya lagi.
Zuraidah memberitahu, tarikan inovatif terbaharu itu ditawarkan pada harga RM18 seorang dan bersesuaian untuk kanak-kanak berusia 6 tahun ke atas.
Katanya, pengenalan tarikan terbaharu itu amat bertepatan apatah, lagi apabila ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka bercuti pada musim cuti persekolahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: