Thursday, December 8, 2011

Menukar takungan kepada santuari


RAJA Nong Chik (dua dari kanan) merasmikan acara Go Green - The Smart Way dengan menanam 20 batang pokok pertama sambil diiringi Jan Verplancke (paling kiri).


KETIKA orang ramai sedang lena dibuai mimpi pada awal pagi Ahad minggu lalu, seramai 1,200 sukarelawan sudahpun berada bersebelahan laluan Projek Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Terowong SMART), Taman Desa, Kuala Lumpur seawal pukul 7 pagi dengan satu tujuan iaitu menanam pokok demi kelangsungan alam sekitar.

Mereka terdiri daripada kakitangan Standard Chartered, ahli Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dan para pelajar sekolah. Ketua Pegawai Maklumat kumpulan Standard Chartered, Jan Verplancke dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut tidak ketinggalan turun padang untuk menyertai aktiviti tersebut.

Pagi yang bermakna itu menyaksikan Raja Nong Chik merasmikan acara Go Green - The Smart Way anjuran Standard Chartered dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Beliau menanam 20 batang pokok pertama daripada kira-kira 4,000 batang pokok yang disasarkan untuk ditanam pada hari itu.

Sebelum aktiviti dimulakan, Pengarah Pendidikan Lestari YAWA, Mohd. Fikri Mohd. Bakri, 47, memberi tunjuk ajar kepada para peserta mengenai cara-cara menanam dan mengendali benih pokok serta langkah-langkah keselamatan.

Semua peserta dibahagikan kepada 30 buah kumpulan yang kemudiannya bergerak di atas plot tanaman dengan luas keseluruhan 11,000 hektar. Pokok-pokok yang ditanam adalah berbeza mengikut kawasan.

Menurut Mohd. Fikri, pihaknya merancang untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah kawasan perlindungan flora dan fauna selain berfungsi sebagai takungan air ketika hujan.

Sebanyak 16 jenis pokok ditanam di situ mengikut dua jenis corak penanaman iaitu secara estet dan berkelompok (cluster). Setiap corak mempunyai fungsinya masing-masing.

Cepat surut

Di bahagian kaki takungan sebelum air dilimpah masuk, corak pokok ditanam mengikut cara estet iaitu pokok-pokok disusun dalam garisan lurus.


SEBELUM acara penanaman dibuat, Mohd. Fikri memberi penerangan tentang cara-cara menanam pokok dengan betul.


Ujar Fikri, ketika air mengalir ke kolam, paras air akan meningkat secara mendadak tetapi ia akan surut dalam tempoh satu jam sahaja.

Pokok-pokok yang ditanam di kawasan itu seperti kelat paya, karas dan gelam yang tahan pada air. Pihak YAWA mahu mengkaji ketahanan pokok tersebut terhadap sistem takungan air SMART itu.

Kaedah penanaman kedua pula adalah iaitu pokok-pokok ditanam secara rapat-rapat antara satu sama lain. Pertumbuhannya akan menjadi sangat lambat tetapi yang menariknya adalah dedaun yang gugur tidak perlu dibersihkan sebaliknya dibiar menjadi humus.

“Ia amat menjimatkan dari segi masa dan wang. Sekarang, kami sedang cuba mempromosi jenis tanaman ini untuk ditanam di sepanjang lebuh raya,” kata Mohd. Fikri kepada Kosmo!

Kebanyakan pokok yang dipilih untuk ditanam secara cluster adalah dari jenis meranti seperti meranti tembaga, rambai daun dan sarang punai.

Selain daripada dua jenis pokok tadi, pokok-pokok buah-buahan turut ditanam di persekitaran kawasan perlindungan itu nanti seperti petai dan rambai.

Burung migrasi

Terangnya, jika diperhatikan di kawasan sekeliling kelihatan burung-burung berterbangan sama ada untuk berehat atau mencari makanan.

Mohd. Fikri memberitahu bahawa burung-burung tersebut adalah daripada jenis migrasi dari luar negara atau zoo-zoo berdekatan. Jadi, langkah untuk menanam pokok buah-buahan akan menjadi sumber makanan bagi haiwan tersebut.

Jika impian menjadikan kawasan takungan tersebut sebagai santuari berjaya maka, ia bakal mempunyai sebuah ekosistem yang seimbang.


PENANAMAN pokok bertujuan untuk menciptakan sebuah santuari yang seimbang.


Raja Nong Chik dalam ucapan pembukaan berkata, pihak kerajaan akan menanam sebanyak 30,000 batang pokok di Kuala Lumpur termasuk 500 batang pokok yang bakal ditanam oleh pihak swasta pada tahun 2012.

“Objektif utamanya adalah untuk meningkat jumlah kawasan terbuka yang bersifat praktikal dan menyenangkan warga bandar sekali gus menambah bilangan kawasan hijau,” katanya.

Perancangan itu juga merangkumi pewartaan kawasan seluas 3,953 hektar kawasan terbuka pada bulan Jun 2012 di Kuala Lumpur untuk taman, hutan simpan, tanah perkuburan dan kemudahan koridor pejalan kaki.

Usaha tersebut bertujuan melahirkan imej dan pemandangan yang baik di Kuala Lumpur, menjadikan ruang pejalan kaki lebih selesa serta menggalakkan orang ramai berjalan kaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: