Tuesday, December 6, 2011

MCG2 Turun Padang Sokong Kempen 'Mr Plasticman'

Sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam kempen 'Mr Plasticman'.

AKTIVITI menjadikan dunia dan persekitaran lebih hijau boleh dilakukan sesiapa sahaja tanpa mengira tempat dan masa.

Jika dahulu usaha-usaha memelihara dan memulihara bumi banyak dilakukan di sungai, taman rekreasi, lokasi awam dan seumpamanya, Malaysian Celebrities Go Green (MCG2) telah berjaya melakukan inisiatif yang sama tetapi di lokasi sedikit berbeza iaitu di dalam pusat beli-belah.

“Kita mahu generasi hari ini sedar bagaimana seseorang itu dapat mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan ‘hijau’ untuk manfaat dan kehidupan semua,” kata Pengasas MCG2, Baki Zainal kepada Mingguan mStar.

Menurut Baki, jika sebelum ini MCG2 banyak terlibat dengan aktiviti membersihkan sungai dan pantai serta menyampaikan ceramah berkaitan alam sekitar di sekolah-sekolah, sejak akhir-akhir ini platform untuk aktiviti seumpama ini telah berubah.

“Kita sering dijemput melakukan aktiviti seperti ini di pasaraya dan pusat beli-belah dengan memberi tumpuan kepada kempen 3R untuk kitar semula.

“Dengan cara ini lebih ramai masyarakat terutama golongan remaja dapat didekati dengan selebriti memainkan peranan menyampaikan mesej berkaitan kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya.

Gelagat salah seorang pengunjung pusat beli-belah yang terkejut apabila diberikan beg Eko secara percuma.

Baki yang baru-baru ini terlibat secara langsung dalam kempen ‘No Plastic Bag’ - ‘Mr Plasticman’ yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya berkata, selain masyarakat, artis dan selebriti hari ini juga semakin sedar peranan mereka dalam menyelamatkan alam sekitar.

Untuk kempen ‘Mr Plasticman’, artis dan selebriti MCG2 seperti Dina Nadzir, Soo Wincci, Zenny Salahuddin dan Azizi Zakaria juga telah turun padang bagi menyokong usaha ini.

Baki berkata kempen ‘No Plastic Bag’ dianjurkan oleh ahli Kelab Leo Metro Kolej Methodist, Kuala Lumpur dan mendapat penajaan daripada AVON Malaysia.

“Mereka telah menaja beg Eko untuk orang ramai selain menyediakan ruang pameran supaya orang ramai dapat melihat dan mengetahui bagaimana caranya untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Kempen tutup tirai 2011

Aksi dan gelagat Baki Zainal mencuri tumpuan ramai pengunjung.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti ini, ahli kelab telah berjalan di sekitar pusat beli-belah dan menawarkan pertukaran beg Eko dengan mana-mana pelanggan yang sedang menggunakan beg plastik.

“Ramai pelanggan yang terkejut apabila mereka didatangi artis dan selebriti yang mahu menukarkan beg plastik mereka dengan beg yang lebih mesra alam.

“Walau bagaimanapun, mereka amat gembira dan sedar kempen seperti ini dapat memberi lebih kesedaran supaya mereka tidak atau mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya.

Jelasnya, kempen ini juga menjadi sebahagian daripada aktiviti MCG2 yang mengisytiharkan November hingga Disember 2011 sebagai ‘Bulan Hijau’.

“Kebiasaannya banyak pihak yang mengadakan pelbagai majlis dan acara menjelang hujung tahun.

“Sebagai menutup tirai 2011, kami juga mahu melakukan sesuatu yang dapat memberi kebaikan kepada banyak pihak sekali gus kepada alam sekitar,” jelasnya.

Selebriti MCG2, Dina Nadzir (dua, kiri) dan Zenny Salahuddin (tiga, kiri) sedang memberikan beg Eko secara percuma kepada pengunjung.

Sepanjang November lalu, ramai selebriti telah memberi ceramah kesedaran kepada pelajar sekolah dan kolej termasuklah Aizat, kumpulan Sixth Sense, Aesar Mustapha dan ramai lagi.

Usaha kumpulan ini nyata tidak terhenti di situ sahaja kerana mereka turut terlibat dengan pameran.

“Dengan penuh rasa teruja dan tanggungjawab mereka turut melaungkan ‘No Plastic Bag’ bersama pelajar di beberapa lokasi awam,” katanya.

Sementara itu, presiden kelab, Michael Dev pula amat beerbesar hati menerima sokongan padu dari syarikat ternama dan artis tempatan.

“Kami sangat terharu menerima sumbangan mereka. Mereka membuatkan aktiviti lebih berjaya dan paling penting dapat mencapai matlamatnya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: