Kelibat Maya Karin dalam industri seni Malaysia, memang jarang dapat dilihat. Sejak awal kemunculannya 10 tahun lalu, Maya hanya muncul sekali atau dua kali setahun bagi mempromosikan produk terbarunya.
Malah sejak melalui episod duka rumahtangga yang dibinanya musnah, Maya dilihat lebih selesa membawa diri mengembara bagi menenangkan jiwanya.
Biarpun baru setahun kembali hidup sendiri, wanita berusia 32 tahun ini selesa bersendirian dan tidak bosan tanpa kehadiran lelaki bergelar suami.
“Saya tidak sempat merasai kesunyian kerana ada sahaja aktiviti yang dilakukan. Lagipun, saya tinggal bersama ibu, jadi mereka sentiasa bersama saya. Saya akui mempunyai ramai kawan sehingga kadang kala mengambil masa dua minggu untuk bertemu.
“Setiap hari ada saja teman yang ingin berjumpa saya. Lagipun, saya baru sahaja pulang bercuti. Enam bulan saya melakukan siri penjelajahan ke beberapa negara yang ingin dilawati selepas tujuh tahun tidak pernah berpeluang bercuti,” katanya.
Ombak Rindu mencabar
Menyentuh mengenai karier seninya, Maya yang kini tampil dalam filem Ombak Rindu sebagai Izzah mengakui, filem itu banyak mencabar dirinya terutama dari segi emosi dan mental.
Sementelah lagi, ketika penggambaran dijalankan, dia berdepan dengan konflik rumahtangga dan perceraian.
Namun, Maya berjaya meletakkan dirinya sebagai Izzah, gadis kampung naif yang terperangkap di lembah hina biarpun hatinya tidak rela. Apabila bebas, Izzah diuji lagi apabila rumahtangganya turut dilanda badai.
“Saya kuat ketika itu kerana Izzah. Jiwa Melayu Izzah melekat dalam diri saya yang secara kebetulan berdepan dengan masalah peribadi ketika itu. Bukan kerja mudah, saya mengambil masa tiga minggu untuk mencari jiwa Izzah, akhirnya dengan bantuan pengarah dan Ellie Suriati selaku guru lakonan, jiwa Izzah meresap dalam diri saya.
“Walaupun penat menangis kerana filem ini mencatat rekod paling banyak adegan air mata, menangis hampir setiap masa dan mengekalkan mood yang sama, tetapi kepuasannya datang kemudian,” katanya.
Tidak cukup bermain dengan emosi, Maya mengakui adegan ranjang di dalam Ombak Rindu turut memberi cabaran paling besar buatnya.
“Saya sendiri sudah diberitahu awal tentang kewujudan adegan itu. Pada hari penggambaran adegan itu, saya memang berdebar-debar. Malah sejam sebelum itu, saya berasa pelik kerana tidak pernah melakonkan adegan intim di atas katil seperti itu, tambahan pula Aaron merupakan suami orang. Jadi saya agak bimbang adegan itu berlebihan.
“Tetapi Alhamdulillah, ia berjalan dengan lancar dan muncul di skrin. Rasanya orang yang menontonnya pun boleh menerimanya,” tutur Maya yang mengakui, dia sendiri menyukai filem Ombak Rindu.
Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Tarantela Pictures Sdn Bhd itu, menggandingkan Maya bersama pelakon kegilaan ramai, Aaron Aziz. Filem itu turut dibintangi Lisa Surihani, Bront Palarae, Zaidi Omar, Julia Ziegler, Normah Damanhuri, Nadia Nisaa dan Kamarool Yusof.
Kembali menyanyi
Wanita berdarah Melayu-Jerman ini turut menyampaikan khabar gembira buat peminatnya yang mungkin merindui suaranya.
Jelas Maya, dia kini bakal muncul dengan album terbaru yang hampir selesai menjalani proses rakaman.
Biarpun mengambil masa hampir tiga tahun untuk menyiapkan album itu, Maya mengakui begitu teruja untuk menantikan reaksi peminat nanti.
“Album ini mengandungi lapan lagu dan kebanyakannya dicipta oleh Audi Mok. Selain itu, Omar A turut menyumbangkan lagu dalam album ini," katanya yang sedang mencari tarikh sesuai untuk melancarkan album itu.
Thursday, December 8, 2011
Maya selesa sendiri tanpa cinta
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: