
JIKA mengunjungi England, pasti kebanyakan individu singgah ke kota London yang terkenal sebagai bandar global dari segi sektor pelancongan, perdagangan, pendidikan, hiburan, fesyen dan destinasi membeli-belah terbaik di negara itu yang juga dikenali United Kingdom.
Bagi yang tidak pernah mengunjunginya pasti tertanya- tanya mengapa London lebih terkenal sebagai destinasi membeli-belah berbanding tempat pelancongan yang ditawarkan.
Jawapannya amat mudah kerana London merupakan saingan terdekat New York dan Paris yang turut mendapat jolokan sebagai kota fesyen.
Setiap pengunjung yang singgah ke sana pasti tidak melepaskan peluang untuk membeli buah tangan daripada barangan mewah sehingga yang berharga sederhana dan murah.
Luangkan masa sehari suntuk membeli-belah di London kerana anda boleh membeli hampir apa jua barangan yang dikehendaki daripada barangan baru, seni, vintage sehinggalah produk antik.
London mempunyai beberapa daerah berbeza tetapi persamaan boleh dilihat pada barisan kedai, yang kebanyakannya mempunyai tema atau pengkhususan tersendiri.
Gedung eksklusif
Minggu ini, S3 menampilkan panduan istimewa buat ‘kaki shopping’ yang terbang bersama Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) ke kota London.
Dengan menyediakan pelbagai jalan utama yang dipenuhi dengan deretan kedai-kedai runcit hingga ke barisan kedai mewah, rasai sendiri kemeriahan kota tersebut.
Buat mereka yang sedang mencari barangan eksklusif dari kota London, pilihan seperti Knightsbridge pastinya menjadi destinasi utama kerana kawasannya yang merupakan gabungan bandar hotspot lama dan baru menyumbang kepada pengalaman percutian yang tidak akan dilupai.
Gedung-gedung serbaneka terkenal dan terkemuka di London terletak di Harvey Nichol dan Harrod tidak kurang menarik untuk dikunjungi jika dibandingkan dengan barangan berkualiti tinggi daripada jenama mewah yang diperagakan di sekitar kawasan tersebut.
Jika ingin mendapatkan pakaian jenama paling terkenal pada zaman ini, maka berkunjunglah ke Bond Street yang dinamakan sempena ahli perniagaan, Sir Thomas Bond dan dibuka sejak abad ke-18.
Antara jenama yang terdapat di sana termasuk Burberry, Louis Vuitton dan Tiffany & Co.
Lokasi seperti Oxford dan Regent Street yang merupakan destinasi beli-belah paling sibuk sudah tentu menghidupkan lagi suasana percutian ketika bersiar-siar di sekitar gedung-gedung pereka terkenal seperti John Lewis, Debenhams, Hamleys, Liberty dan The Apple Store.
Selain itu, Jermyn Street pula menawarkan kawasan bersejarah yang terkenal dengan gedung-gedung pakaian lelaki seperti Charles Tyrwhitt dan kedai kasut John Lobb.
Kawasan Notting Hill pula berbeza kerana ia menampilkan deretan kedai-kedai kecil yang unik daripada pakaian vintaj, barang-barang antik luar biasa, hadiah-hadiah aneh, buku-buku hingga ke makanan organik.
Terletak 1.6 kilometer dari Notting Hill, lokasi Portobello Road Market menawarkan gerai-gerai makanan yang menyelerakan, manakala Westbourne Grove yang berdekatan dengannya pula menawarkan lebih banyak pusat membeli-belah yang canggih dan kafe-kafe mewah serta galeri seni.
Jika anda inginkan kelainan, maka kunjungi lokasi Westfield London. Lokasi itu bukan sekadar sebuah pusat membeli-belah kerana ia juga merupakan lokasi yang paling sesuai dikunjungi pelancong.
Sepanjang jalan tersebut dipenuhi pusat membeli-belah terbesar di Eropah seperti Debenhams, Next, Marks & Spencer dan DHouse of Fraser.
Terdapat lebih daripada 275 kedai mewah yang mempamerkan lebih 700 jenama terkenal termasuk Jimmy Choo, Louis Vuitton, All Saints dan Ted Baker, pawagam, gimnasium dan pelbagai restoran di bawah satu bumbung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: