|
BAGI membudayakan integriti sebagai cara hidup masyarakat Malaysia, tarikh 5 November setiap tahun diraikan sebagai Hari Integriti Nasional.
Sejak tahun 2005, tarikh itu dipilih sempena penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai landasan ke arah pemantapan etika dan integriti masyarakat.
Pada tahun ini, IIM telah melaksanakan program dan acara sempena sambutan Hari Integriti Nasional yang diadakan sepanjang bulan November lalu untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman serta penghayatan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, pada tahun ini tema Integriti Menjana Transformasi dipilih sebagai tema sambutan Hari Integriti Nasional 2011 bagi melambangkan semangat, azam dan komitmen bersama-sama rakyat Malaysia dalam merealisasikan hasrat negara ke arah transformasi.
Ujar Mohd. Tap, seperti tahun lalu, pihaknya menyasarkan golongan muda dan belia dalam kempen yang diadakan untuk menerapkan nilai-nilai murni dan integriti dalam diri mereka.
“Statistik Jabatan Perangkaan Negara pada 2010 menunjukkan rata-rata penduduk negara ini yang berusia 40 tahun ke bawah ialah sebanyak 42.1 peratus berbanding 40.4 peratus pada tahun 2008.
“Ia jelas menunjukkan golongan muda dan belia bukan sahaja menjadi aset negara yang bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti malah, memainkan peranan penting dalam menjadi penjana utama pencapaian misi nasional pada masa hadapan,” katanya.
Kongsi ilmu
Tambah beliau, kemuncak kepada sambutan Hari Integriti Nasional 2011 ialah Konvensyen Integriti Nasional yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC) pada 10 November lalu.
Katanya, sambutan itu telah menghimpunkan lebih 1,000 orang aktivis, penggerak dan kepimpinan belia, pegawai-pegawai kerajaan, pensyarah, ahli akademik dan profesional muda dari seluruh negara serta dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pengisian majlis itu turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu dan bual bicara melibatkan beberapa pemimpin, usahawan muda dan tokoh akademik terkemuka. Antaranya ialah usahawan Internet, Noor Irfan Khairi Noor Azmi, selebriti radio dan usahawan, Linda Onn; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian,” jelasnya.
Tambah Mohd. Tap lagi, pelbagai acara lain yang turut diadakan sepanjang sambutan hari tersebut yang berlangsung sepanjang bulan lalu.
Antaranya ialah Program Integriti Alam Sekitar Bersama Pelajar Sekolah di IIM, Forum Perdana Ehwal Islam Universiti Teknologi Mara, Lendu, Integriti Politik Bersama Pemuda MIC di IIM, Forum Transformasi Perkhidmatan Awam di IIM dan Forum Rakyat: Jenayah, Anda dan Integriti di Pulau Pinang.
Ujarnya, beliau berharap semua pihak dapat memanfaatkan program yang diadakan di samping berharap sambutan Hari Integriti yang diadakan sebagai satu titik mula untuk meningkatkan tahap integriti pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
“Semua jentera masyarakat mempunyai tugas dan peranan masing-masing bagi melaksanakan misi nasional ini.
“Saya percaya pembudayaan integriti seharusnya disemai sejak dari kecil. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk memperkasakan nilai integriti dalam kehidupan generasi muda,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: