kebakaran

KUALA TERENGGANU – Impian mangsa kebakaran, Nurul Azma Asli, 24, untuk bersanding di pelamin pada hari perkahwi­nannya pada 31 Disember ini tidak menjadi kenyataan berikutan kejadian malang berkenaan.

Keluarga gadis tersebut terpaksa membatalkan majlis terbabit kerana segala persia­pan perkahwinan seperti kad kahwin dan bunga telur bernilai kira-kira RM10,000 yang sudah dibeli hangus terbakar bersama kediaman mereka.

Sebaliknya, hanya majlis akad nikah dan kenduri doa selamat yang bakal dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja akan diadakan bagi menggantikan majlis perkahwinan berkenaan.

Nurul Azma yang baru pulang dari Kuala Lumpur berkata, dia redha dengan ketentuan ilahi dan menganggap tiada rezekinya untuk bersanding bersama tunangnya, Mahadir Abdullah pada hari bersejarahnya.

“Saya sudah batalkan tempahan pelamin kerana majlis itu akan berlangsung bukan sebagaimana yang dirancang sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Bukit Tunggal, semalam.

Bagaimanapun katanya, kesedihan itu mungkin sedikit terubat apabila Mahadir dijangka menempah pelamin ketika majlis di pihak lelaki pada 8 Januari ini di Petaling Jaya bagi membolehkan mereka bergambar kenangan.

Mahadir yang pulang menemani Nurul Azma ke Terengganu bersama ibunya berkata, dia memahami keadaan keluarga tunangnya dan akan berbincang semula mengenai majlis perkahwinan itu nanti.

“Mengikut perancangan sebelum ini, rombongan kami akan datang dengan sebuah bas tapi sekarang ia akan dikurangkan. Mungkin hanya lima buah kereta sebagaimana majlis pertunangan sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri bukan sahaja terkilan namun hanya mampu memendam rasa apabila melihat persiapan perkahwinan anak kedua mereka musnah dalam satu kebakaran, Rabu lalu.