GELIGA – Jabatan Amal Negeri Terengganu bersiap sedia menghadapi banjir kedua di negeri ini dan mengerahkan petugas membantu jabatan kerajaan dalam kerja menyelamat serta menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir.
Pengarah Jabatan Amal Negeri Terengganu, Mohd Saiful Anbia Darusa berkata, ketika banjir gelombang pertama, pihaknya turut mengerahkan petugas membantu agensi kerajaan seperti polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyelamat mangsa banjir.
“Sebagai sebuah jabatan di bawah Dewan Pemuda Pas, kita sentiasa prihatin dan diarahkan untuk bergerak cergas membantu masyarakat termasuk ketika berhadapan dengan keadaan bencana,” katanya.
Mohd Saiful berkata demikian pada Majlis Penutup Jambori Amal Terengganu, di sini.
Perasmian penutup program selama tiga hari dua malam itu disempurnakan Pengarah Pas Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat.
Mengulas mengenai program, Mohd Saiful berkata, program Jambori Amal membuka ruang kepada pihaknya bertemu masyarakat atas dasar kebajikan.
“Setiap tahun, Jabatan Amal akan mengadakan jambori yang membabitkan penyertaan seramai 230 peserta dari lapan kawasan di negeri ini iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Menerusi program ini golongan muda dapat berkumpul terutama bagi mereka yang gemarkan aktiviti perkhemahan,” katanya.
Katanya, lebih menarik aktiviti perkhemahan itu disertakan dengan aktiviti kebajikan kerana sepanjang aktiviti ini dijalankan turut diadakan aktiviti gotong-royong membersih surau, kubur dan ziarah menyampaikan bantuan.
Menurutnya, bantuan itu dikumpulkan pihaknya sendiri demi membantu masyarakat memerlukan.
Katanya, selain itu aktiviti lain yang turut diadakan adalah latihan kawad asas dan program motivasi supaya petugas atau ahlinya sanggup turun dan berkhidmat kepada masyarakat walau dalam keadaan hujan sekalipun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: