Saturday, December 10, 2011

Kematangan Ford Ranger


WARNA merah menyala ini membolehkan anda dilihat dari jauh lagi.


“THIS is Ford Ranger test drive, not Ford Danger test drive. So, please be safe on the road," kata marshal yang mengetuai sesi pandu uji pada pagi itu. Pesanannya disambut gelak ketawa semua yang ada di dalam dewan.

Dua minggu lalu, saya dan sekumpulan wartawan dijemput oleh pihak Sime Darby Auto Connexion Sdn. Bhd. (Auto ConneXion) untuk memandu uji jentera terbarunya. Kali ini, lokasi pandu uji mengambil tempat di Chiang Rai, Thailand.

Jika anda masih ingat, Ford Ranger membuat debut antarabangsa pada Bangkok Motor Show April lalu. Selepas beberapa bulan 'bertapa', Ford akhirnya benar-benar bersedia untuk menunjukkan rupa sebenar Ranger.

Perkataan serba baharu memang signifikan dengan Ranger. Jika pengeluar lain menggunakan frasa itu untuk merujuk kepada bampar hadapan, belakang dan lampu yang ditukar, Ranger berbeza. Sebabnya, apa yang diambil daripada model sebelumnya hanya skru dan nat sahaja!

Sesi pandu uji menyaksikan Ford menampilkan beberapa varian termasuklah pacuan dua roda (4x2) dan empat roda (4x4). Variannya turut ditentukan oleh sesaran enjin, petrol atau diesel serta jenis badannya sama ada single cab, open cab atau double cab.

Varian yang bakal dipasarkan di Malaysia bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Auto ConneXion dlihat benar-benar bersungguh untuk membuatkan pengguna sedar tentang kehadiran Ranger. Antara sebabnya, beberapa pengeluar lain dijangka memperkenalkan trak pikap baharu masing-masing pada tahun depan. Chevrolet dengan model Colorado dan Mitsubishi Triton. Tidak mustahil akan ada lagi model pikap yang lain, memang meriah juga segmen trak pikap di Malaysia nanti. Tunggu sahaja.


INILAH ruang kabin untuk model Wildtrack 4x4 dengan enjin 3.2 liter.


Pandu uji di Chiang Rai meliputi perjalanan sejauh 175 kilometer (km). Ya, memang pendek jika hendak dibandingkan dengan kemampuan jentera yang boleh mencecah perbatuan hampir 1,000km untuk satu tangki penuh bahan api. Biarpun begitu, laluannya boleh dikatakan agak menyeluruh. Ada lebuh raya, laluan berbukit dan off-road yang tidaklah terlalu radikal.

Pandu uji saya dimulakan dengan model asas berpacuan 4x2. Enjin diesel 2.2 liter yang ada padanya dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan (anda tidak salah baca) yang saya fikir pertama jika ia selamat sampai ke bilik-bilik pameran Ford dalam negara pada tahun depan.

Memandangkan ia sebuah model asas, banyak benda yang tidak ada padanya. Seterengnya kosong tanpa sebarang butang kawalan audio atau sebagainya. Tetapi tempat duduknya yang dibalut fabrik warna hitam itu selesa.

Masuk sahaja ke gear pertama, Ranger terasa seperti hendak melompat. Kuasa torknya sangat ketara. Ada ketika, anak panah berwarna hijau pada meter akan muncul. Ia sebenarnya indikator bahawa anda perlu menukar ke gear lebih tinggi.

Kedudukan gearnya agak rapat. Anda hanya perlu menolak sedikit sahaja untuk menukar ke gear yang seterusnya. Saya memandu model tersebut di laluan lebuh raya. Melepasi takat 100 km sejam (km/j) tahap kesenyapan dalam kabinnya boleh dipuji.

Baru hendak panas, saya terpaksa menyerahkan stereng kepada rakan untuk memandunya pula. Laluan yang ditempuhnya lebih menarik. Banyak sekali selekohnya. Sebagai penumpang, saya boleh katakan bahawa olengan tubuh Ranger tidaklah keterlaluan.

Selepas menikmati makan tengah hari, saya agak bertuah. Ranger yang dikenali sebagai Wildtrak menjadi jentera ujian. Apa yang membezakan Wildtrak dengan Ranger biasa?

Perbezaan paling ketara ialah dari segi luarannya yang mendapat gril radiator berwarna hitam, roof rail, kemasan pada tepi ruang kargo dan banyak lagi. Pendek kata, Wildtrak nampak lebih cantik dan garang. Silap-silap, kalau sudah dibeli sayang pula hendak melanggar lecak di jalan kampung.


MAMPU meredah air sedalam 800mm tanpa sebarang masalah.


Tetapi, rasa gembira sedikit berkurang apabila menyedari ia bukanlah varian Wildtrack yang paling tinggi. Maksudnya, model tersebut cuma dipasang dengan enjin diesel 2.2 liter (varian tertinggi 3.2 liter 4x4). Beberapa butang di atas papan pemuka seperti Hill Descent Control (HDC) tidak ada di sana. Biar pun begitu, kuasa serta cengkaman Ranger masih meyakinkan ketika menaiki dan menuruni laluan curam yang berlumpur.

Jika trak pikap lain memiliki kemampuan untuk mengharung air setinggi 500mm, Ranger meletakkan penanda aras baharu apabila mampu meredah air setinggi 800mm. Tetapi, kami tidaklah meredah banjir di Bangkok, ujian itu dilakukan di sebatang sungai kecil dan Ranger lulus dengan cemerlang.

Mahu tampil sebagai trak pikap berteknologi tinggi, Ranger hadir dengan ciri Voice Control di dalam kabinnya. Sama seperti yang ada pada model kompak Fiesta, ia membenarkan pemandu 'berinteraksi' dengan sistem audio sama ada untuk menukar saluran radio atau membuat panggilan telefon.

Ranger dibina di atas kerangka, dua enjin penuh kuasa baharu, transmisi serta pelbagai ciri berteknologi tinggi yang membuatkan Ranger berada dalam kelas tersendiri. Pendek kata, Ranger ialah sebuah trak pikap yang paling menarik dan memuaskan hati pernah saya pandu setakat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: