Kancil Award hargai seni

Teknologi dan revolusi digital memberi kuasa kepada kita untuk berfikir, bertindak dan merasakan perbezaan sekali gus bergabung, lebih bersosial, berkongsi pendapat serta menjadi lebih berpengaruh.

Penganjuran Anugerah Kancil menjadi permulaan perjalanan bagi melaksanakan perubahan dalam merancakkan industri pengiklanan menghadapi dunia baru.

Pengerusi Penganjur Anugerah Kancil 2011, Nicky Lim berkata, bertemakan ‘Hentikan yang Biasa’, kreativiti adalah alat perniagaan dalam industri kita yang memberi cabaran serta menarik kerana mempunyai lebih banyak pilihan, jalan, peluang untuk menjadi luar biasa.

“Sebanyak 11 kategori dan tujuh kategori khas dipertandingkan. Pada tahun ini, kami telah membuat satu perubahan ketara dengan menyatukan kategori kraf. Kriteria dipilih adalah bersandarkan kepada peranan penggiat seni yang menggunakan kemahiran mereka dalam pelaksanaan kualiti sesuatu idea.

“Persatuan ejen pengiklanan bertauliah Malaysia mengiktiraf beberapa perkembangan dramatik di Malaysia termasuk penubuhan infrastruktur yang mantap dalam melebarkan arena profesional bagi amalan pengiklanan,” katanya.

Katanya, Pengarah Eksekutif rangkaian radio Airtime Management and Programming (AMP), Datuk Borhan dinobat sebagai pemenang kategori khas Anugerah Pengerusi dan diputuskan Presiden juga Naib Presiden selepas perundingan bersama ahli majlis dilakukan.

Menurutnya, beliau adalah peneraju industri yang merangkumi ciri-ciri pengetahuan, beretika, keberanian serta berwawasan malah, berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri pengiklanan dan 13 tahun dalam industri radio.

“Radio medium terbaik dalam menarik dunia pengiklanan, malah Datuk Borhan menjadi perintis bagi memacu transformasi platform kreatif. Komitmen diberikan menjadikan matlamat mereka tercapai seiring kematangan dan pertumbuhan semasa.