
LAGU Mimpi Laila membawa tuah kepada mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (uniMAP), Shehabaddin Gahal Hael apabila dia dipilih sebagai juara kategori lelaki pertandingan Lagu Melayu Antarabangsa 2011.
Pertandingan yang julung kali diadakan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 yang nyata menjadi milik pelajar tahun satu jurusan Kejuruteraan Mekatronik ini.
Shehabaddin, 19, ketika ditemui selepas tamat pertandingan tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi RTM 1, Ahad lalu memberitahu, minatnya yang mendalam terhadap muzik penyanyi Yassin mendorongnya untuk memilih lagu Mimpi Laila pada malam pertandingan akhir itu.
"Saya meminati hasil kerja penyanyi Yassin, kerana muzik serta liriknya sangat bermakna. Saya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk menghayati makna lagu ini.
"Jika ada peluang saya juga mahu bersinar sebagai penyanyi di negara ini," kata Shehabaddin yang juga pemenang untuk kategori vokal terbaik pada malam itu.
Dia berkata, kemenangannya itu disifatkan sebagai pendorong semangat baginya untuk terus menguasai bahasa Melayu biarpun itu bukan bahasa ibundanya.
Sementara itu bagi pemenang utama kategori wanita pula, Sa Pily yang berasal dari Kemboja, dia langsung tidak menyangka bahawa percubaan kali pertamanya untuk menyertai pertandingan nyanyian tersebut berjaya membawa dirinya bergelar juara.
"Sungguh tidak disangka kerana ini merupakan perucbaan kali pertama dalam hidup saya untuk menyertai pertandingan nyanyian.
"Semestinya saya rasa sangat gembira dengan kemenangan ini.
"Bagaimanapun untuk meneruskan karier di dalam bidang muzik bukanlah pilihan saya kerana cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang ahli perniagaan," kata pelajar asas Pengurusan Perniagaan di Universiti Antarabangsa Albukhary, Kedah ini.
Sa Pily yang membawakan lagu Dondang Dendang pada malam itu berkata, kejayaannya itu pasti mengejutkan keluarganya yang tidak menduga, dirinya mempunyai bakat seni yang jarang hendak ditonjolkannya.
Bagi tempat kedua yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM8,000 dimenangi oleh Bambang Sulistiono dan Annisa Armarosa dari Indonesia.
Raja Reza Fahlevi dan Syafira Ameda pula terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga pertandingan. Mereka membawa pulang wang tunai RM6,000, trofi dan sijil.
Pertandingan Lagu Melayu Antarabangsa 2011 disertai hampir 60 peserta bukan tempatan.
Mereka hadir di peringkat saringan pertandingan yang telah diadakan pada 26 November lalu.
Bagaimanapun hanya 10 peserta daripada 7 negara yang layak untuk ke pentas akhir.
Mereka terdiri daripada Nowshin Tahashum Promi (Bangladesh), Isara Khanket (Thailand), Chisi N.C Zimbudzana (Zimbabwe) dan Kim Anastassiya (Kazakstan).
Pada pertandingan akhir, turut hadir menyaksikan persembahan para peserta ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan artis undangan, Datuk M. Nasir, Najwa Latif dan Rahim Maarof.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: