
SEBUAH konsert berskala besar dipanggil Konsert Loudspeaker bakal diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 25 Disember ini sebagai antara upacara penutup tahun 2011 yang bakal melabuhkan tiranya.
Konsert yang berpaksikan rock itu mendapat namanya oleh kerana lontaran vokal yang tinggi oleh barisan artis yang bakal menggegarkan persembahan pada malam tersebut.
Empat ikon muzik yang berpaksikan rock tanah air yang bakal memberikan persembahan bertenaga pada malam tersebut adalah kumpulan Wings, XPDC, Faizal Tahir dan juga Azlan & The Typewriter.
Konsert ini merupakan anjuran syarikat Red Garage Group Sdn. Bhd., yang cukup sinonim dengan industri permotoran berkuasa tinggi dan juga pemilik majalah permotoran, My Chopperz Magazine.
Pengarah Acara, Red Garage Group Sdn. Bhd., Muhd. Idi Iskandar Abu Zahar berkata, idea untuk menggabungkan empat ikon muzik rock ini adalah kerana kemampuan mereka dalam bidang tersebut dan juga kredibiliti yang dimiliki oleh mereka sebagai individu.
"Keempat-empat ikon ini dipilih kerana ia bersesuaian dengan nama konsert tersebut yang membawa maksud suara yang besar dan kuat.
"Selain itu, gabungan empat ikon ini juga diambil untuk mewakili generasi yang berbeza tetapi masih mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap muzik rock khususnya," katanya pada majlis pelancaran konsert tersebut, baru-baru ini.
Motosikal berkuasa besar sering dikaitkan dengan bunyi yang kuat dan kadangkala membingitkan, justeru padanan muzik yang paling sesuai pastilah muzik rock kerana ia dilihat dapat dijadikan sebagai satu platform untuk industri permotoran dan juga hiburan tempatan bergerak seiring.
Idi Iskandar menambah, KLBW ini adalah sebuah acara tahunan yang bermula sejak 2008 dan saban tahun, penyertaan yang diterima daripada penunggang motosikal berkuasa besar dan juga orang ramai yang hadir amat menggalakkan.
"Pada tahun 2008, kehadiran yang dicatat adalah seramai 8,000 orang dan angka tersebut meningkat kepada 25,000 orang pada tahun lalu," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pengiklanan dan Promosi, Dira Abu Zahar yang juga merupakan seorang pelakon dan pengacara berkata, idea untuk menggabungkan empat ikon ini adalah sesuatu yang unik dan pastinya dinanti-nantikan oleh ramai peminat.
"Setiap ikon tersebut mempunyai jumlah peminat yang besar dan kini, gabungan mereka bersama di atas satu pentas pasti akan menggegarkan semua peminat industri rock tanah air.
"Selain daripada itu, konsert pada malam tersebut akan menyaksikan suatu persembahan khas yang menyaksikan penyanyi utama berperang suara dalam memberikan persembahan yang terbaik buat peminat mereka.
"Saya percaya Malaysia merupakan negara yang menerajui muzik rock dalam rantau ini dan pastilah acara seperti ini dapat memartabatkan lagi industri rock tempatan," jelasnya.
Serentak dengan berlangsungnya konsert tersebut, turut diadakan Kuala Lumpur Bike Week (KLBW) 2011 pada 23 dan 24 Disember bertempat di The Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur.
Bagi mereka yang berminat, tiket berharga RM77 dan RM222 boleh didapati dengan melayari laman web www.tickethotline.com.my atau hubungi 03-77251177.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: