BERITA baik untuk peminat Boboiboy! Jika anda ingin berkenalan secara lebih dekat dengan watak animasi itu dan kawan-kawannya anda dialu-aluklan ke Pusat Pameran Mid Valley (Mid Valley Exhibition Centre) hari ini kerana mereka akan berada di sana di antara pukul 6 petang hingga 7 malam.
Evergreen Publishers akan menganjurkan sesi pertemuan dengan pencipta dan pelakon yang meminjamkan suara kepada watak dalam siri animasi itu sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan pratonton episod untuk musim yang akan datang.
Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan autograf eksklusif Boboiboy pada cenderamata dan menjadi peminat pertama yang akan memiliki rangkaian alat tulis baharu dengan gambar watak kartun tersebut.
Menurut Pengarah Urusan Evergreen Publishers, Rachel Poon, syarikatnya telah membeli hak untuk menggunakan jenama Boboiboy dalam rangkaian alat tulis mereka.
“Sebagai penerbit yang bertanggungjawab menerbitkan bahan bacaan animasi dan barangan hadiah untuk kanak-kanak, kami gembira kerana mendapat hak untuk menggunakan gambar watak kartun paling digemari di negara kita.
“Dengan memaparkan watak animasi ini pada rangkaian alat tulis, kami berharap untuk mengingatkan dan memberi inspirasi kepada pelanggan kami supaya menggunakan zaman muda mereka untuk kebaikan dan kegembiraan serta mencontohi kelakuan baik Boboiboy dan kawan-kawannya dalam perjuangan mereka untuk menegakkan nilai-nilai keluarga,” katanya.
Menariknya, satu peratus daripada hasil jualan alat tulis itu akan disumbangkan kepada World Vision untuk menyokong usaha yang dilakukan untuk kanak-kanak.
“Singgahlah ke gerai pameran 1097 dan 1098 Evergreen di Pusat Pameran Mid Valley pada 8 Disember ini kerana kami akan memberikan 50 beg hadiah dengan tandatangan watak Boboiboy secara percuma.
“Orang ramai yang ingin membeli set alat tulis ini juga akan mendapat diskaun 10 peratus untuk semua pembelian,” ujarnya.
Rekod animasi Boboiboy
Dalam pada itu, menurut Muhammad Anas Abdul Aziz yang merupakan pencipta watak utama kartun itu, Boboiboy telah mencapai kejayaan yang memberangsangkan dari segi komersial.
Hasil tinjau selidik yang dikeluarkan oleh syarikat penilaian, AC Nielsen menunjukkan bahawa siri kartun itu menarik purata 1.1 juta penonton setiap episod buat masa ini. Ia merupakan siri kartun nombor satu di TV3 Malaysia dan berada di carta tiga teratas kartun Disney Asia di Malaysia, Filipina dan Singapura.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: