Thursday, December 8, 2011

Pesawat pejuang termoden

KANAN: Jurutera rekabentuk Euroala Industries Sdn. Bhd. Nurul Huda Nazaruddin (kanan) membuat persiapan akhir pada pesawat Jetfox jenis Light Sport Aircraff (LSA).


ADA sebab mengapa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi 2011 (LIMA ‘11) yang berlangsung sejak 6 hingga 10 Disember ini perlu dikunjungi. Selain edisi LIMA terbesar, ia juga memberi peluang orang ramai untuk melihat empat pesawat pejuang termoden dekad ini.

Firma pertahanan BAE Systems dari United Kingdom menerbangkan sebuah pesawat Eurofighter Typhoon milik Tentera Udara Diraja Britain (RAF), manakala Dassault dari Perancis pula membawa sebuah pesawat Rafale milik angkatan udara negara itu.

Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) pula menerbangkan dua buah pesawat F/A-18 Super Hornet bagi pihak Boeing. Firma Saab dari Sweden pula mempertontonkan pesawat tempur JAS-39C/D Gripen milik Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF).

Kehadiran empat pesawat ini adalah yang pertama seumpamanya pada pameran udara bertaraf antarabangsa.

Kesemuanya merupakan pesawat pejuang generasi keempat dan antara yang tercanggih di dunia kini. Mereka mengintai peluang untuk menggantikan pesawat MiG-29N Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Difahamkan, pesawat-pesawat ini akan mempamerkan aksi kepada orang ramai di Langkawi.

LIMA ‘11 merupakan kunjungan kali kedua pesawat Eurofighter Typhoon ke Malaysia.

Pada bulan November lalu, empat pesawat RAF ini terbabit dalam Eksesais Bersama LIMA ‘11 di Pangkalan TUDM Butterworth, Pulau Pinang.

Sebuah replika bersaiz sebenar pesawat Typhoon lengkap dengan sistem persenjataan juga dipamerkan di pintu masuk Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Langkawi.

BAE Systems yang merupakan antara pembekal sistem pertahanan terbesar Angkatan Tentera Malasia (ATM) dilihat begitu komited untuk menawarkan pesawat itu kepada TUDM.


PASUKAN aerobatik udara 1Malaysia yang dikenali sebagai Kris Sakti melakukan latihan di ruang udara Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum beraksi pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011.


Pasaran strategik

Bagi Sweden pula, Malaysia merupakan pasaran strategik Saab setelah berjaya menjual 12 pesawat Gripen bersama dua pesawat pengawasan udara Saab 340 AEW dengan pakej menarik kepada RTAF tiga tahun lalu.

Terbaru, Saab memenangi kontrak membekalkan 22 pesawat satu enjin ini kepada Switzerland bernilai 2.5 bilion euro (RM37 bilion).

Begitu juga dengan Dassault. Iklim industri pertahanan Perancis yang baik di sini memberi keyakinan firma itu mempertaruhkan pesawatnya.

Di pasaran global, Rafale telah memikat Tentera Udara India (IAF) yang bersetuju membeli 126 pesawat tersebut pada bulan April lalu yang bernilai AS$12 bilion (RM10 bilion).

Firma Boeing pula percaya rekod 14 tahun TUDM mengoperasikan lapan pesawat F/A-18D Hornet tanpa sebarang masalah memberi kelebihan kepadanya.

F/A-18 Super Hornet memiliki reputasi cukup tinggi kerana terbabit dalam operasi-operasi ketenteraan AS di luar negara seperti di Afghanistan dan Iraq sejak tahun 2001 hingga kini.

TUDM hampir menjadi pengguna awal pesawat Super Hornet pada tahun 2003 sebelum dimuktamadkan dengan perolehan Sukhoi SU-30MKM dari Rusia.

Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) bercadang memiliki di antara 12 hingga 18 pesawat tempur bagi menggantikan 16 pesawat MiG-29N yang bakal ditamatkan perkhidmatan menjelang 2015.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada keputusan bagi program perolehan bernilai berbilion ringgit itu.

LIMA ‘11 merupakan pameran aeroangkasa dan maritim terbesar di dunia mengumpulkan kira-kira 64 pesawat tentera dan komersial.

Antaranya termasuklah pesawat pengangkut gergasi C-17 Globemaster III milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dan pesawat pengisi minyak Airbus A330 terbaharu Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

Selain itu, pasukan aerobatik profesional negara, Kris Sakti akan mempamerkan aksi sulungnya menggunakan pesawat ringan Extra 300L buatan Jerman.

Tidak ketinggalan, aksi mendebarkan oleh skuadron TUDM melibatkan pesawat Sukhoi SU-30MKM, MiG-29N, F/A-18D Hornet dan Hawk 108/208.

Kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak dijangka menjadi tumpuan bagi segmen maritim di Awana Porto Malai.


RAFALE berjaya memikat Tentera Udara India (IAF) yang bersetuju membeli 126 pesawat tersebut.


Tumpuan

Pengunjung juga pasti tidak ingin melepaskan peluang mendekati frigat termoden Tentera Laut Republik Singapura kelas Formidable, RSS Supreme atau kapal pemusnah USS Curtis Wilbur dari AS yang dilengkapi peluru berpandu Tomahawk.

Turut berlabuh di perairan ini ialah dua kapal Tentera Laut Republik Korea iaitu kapal pemusnah ROKS Kang Kamchan dan kapal logistik ROKS Chun Ji.

Bagaimanapun tumpuan pasti terarah kepada kapal peronda terbaharu Tentera Laut Diraja Brunei, KDB Darulehsan. Dibina di Limbungan Lürssen, Jerman, kapal sepanjang 80 meter itu dilengkapi selaras meriam Bofors 57mm dan peluru berpandu antikapal 40MM Exocet.

Begitu juga kapal peronda pantai Tentera Laut Diraja Australia (RAN), HMAS Glenelg. Kapal laju kepas Armidable itu adalah yang serupa seperti digunakan dalam drama aksi televisyen terbitan negara itu, Sea Patrol.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: