SEMPENA menyambut kehadiran tahun baru yang menjanjikan pelbagai teknologi terkini dan ciri-ciri aplikasi yang diperhalusi, berikut disenaraikan beberapa gajet dan sistem operasi yang bakal memasuki pasaran pada tahun hadapan.
Ia bakal memudahkan anda untuk memilih gajet idaman hati untuk tahun 2012.
1) Nintendo Wii U
Pengeluar konsol permainan terkemuka Nintendo bakal memasarkan produk pengganti konsol Wii mereka yang dinamakan Wii U. Sesuatu yang ketara tentang konsol terbaharu ini ialah alat kawalannya yang mempunyai skrin sentuh berukuran 15.7 sentimeter (sm) dengan nisbah 16:9.
Alat kawalan ini turut dilengkapkan dengan accelerometer, gyroskop, kamera dan mikrofon bagi memberikan pengalaman baharu dalam dunia permainan video terutamanya gamer.
Setiap unit konsol Wii U, boleh disambungkan kepada sehingga empat alat kawalan Wii secara serentak. Konsol janaan pemproses mikro IBM ini menggunakan unit pemproses grafik AMD Radeon yang mampu menghasilkan grafik lebih lancar dan realistik.
Ia membolehkan variasi output video dengan format 1080p, 1080i, 720p, 480p dan 480. Pengguna Nintendo Wii tidak perlu risau kerana permainan dan aksesori mereka turut boleh digunakan pada Nintendo Wii U ini.
2) Acer Iconia Tab A200
Pengeluar komputer terkemuka Acer mengumumkan tablet terbaharu mereka, Iconia Tab A200. Ia sesuai bagi mereka yang inginkan pengalaman pengkomputeran santai seperti membaca buku elektronik, menonton video, bermain permainan komputer, mendengar muzik dan aktiviti rangkaian sosial.
Sungguhpun versi Iconia Tab A200 yang menggunakan sistem operasi Android Honeycomb telah mula dipasarkan pada November lalu, namun versi yang menggunakan sistem operasi Android terkini Ice Cream Sandwich akan hanya dikeluarkan bermula Januari tahun hadapan.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna, kelabu titanium dan merah metalik, tablet ini menawarkan skrin pelbagai sentuh berukuran 25.6 sm dan disokong pemproses NVIDIA Tegra 2 Dual Core berkelajuan 1 gigahertz (GHz) dan gyrometer.
Ia turut menawarkan slot USB bersaiz penuh bagi membolehkannya disambung dengan peranti lain. Dari sudut storan pula, pengguna boleh memanfaatkan slot MicroSD bagi menyimpan segala khazanah digital mereka.
Sekiranya anda seorang yang sering berinteraksi menggunakan panggilan video, kamera web dengan resolusi 2 megapiksel turut disediakan demi memberikan imej berkualiti.
3) Canon EOS 5D Mark III
Sungguhpun nama model ini belum dapat dipastikan kesahihannya 100 peratus, Canon dilaporkan telah mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses membangunkan kamera refleks lensa tunggal (DSLR) bingkai penuh terkini.
Model ini berkemungkinan dinamakan 5D Mark III atau 6D. Antara spesifikasi yang dikatakan bakal dimuatkan dalam keluaran terbaharu ini adalah pemproses imej DIGIC 4, sensor bingkai penuh, resolusi 21 megapiksel, skrin OLED dan jangka hayat bateri lebih panjang.
Seperti model-model terdahulu, model terkini dari Canon ini dijangka mempertingkatkan ciri sedia ada dan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang diluahkan oleh penggemar fotografi terutamanya jurufoto profesional yang menggunakan 5D Mark II.
4) Windows 8
Windows 8 merupakan kod nama bagi sistem operasi keluaran Microsoft yang bakal menggantikan sistem operasi sedia ada iaitu Windows 7.
Menarik tentang sistem operasi ini adalah ia tidak hanya boleh digunakan untuk komputer peribadi dan komputer riba, tetapi juga dikatakan boleh diguna pakai pada peranti tablet.
Antara ciri yang diperkenalkan pada sistem operasi terbaharu ini termasuk pelayar web Internet Explorer versi 10 yang menyokong HTML 5 dan CSS 3.
Ia juga boleh diintegrasi dengan pengkomputeran awan iaitu SkyDrive, yang membenarkan anda mengawal komputer lain menerusi Internet. Ciri itu membolehkan anda mendapatkan gambar atau video daripada komputer milik anda yang lain.
Bagi memastikan keselamatan pengguna, sistem operasi terbaharu ini juga mempunyai papan kekunci pada skrin dan ciri pengecaman tulisan tangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: