TIGA tahun lalu di hutan Paragominas, Brazil, kepulan asap hitam kebakaran yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai padang ragut untuk penternakan lembu daging ternyata kelihatan amat menggerunkan.
Kanak-kanak pula dengan berkaki ayam berjalan pada permukaan laluan yang kotor berdekatan tempat pembakaran arang. Paragominas adalah tempat yang paling pantas kehilangan hutan berbanding tempat-tempat lain di Amazon.
Kini, bandar tersebut bangkit daripada debu-debu hitam dan menjadi perintis model bandar hijau. Ia memastikan pendekatan ekonomi baharu mapan dengan menghapuskan kegiatan pembalakan haram.
Ramai pakar berpendapat, ia akan memberi harapan kepada penduduk seramai 25 juta itu bahawa hutan Amazon memberi manfaat jika dipelihara berbanding dibiarkan musnah.
Transformasi tersebut dibuat selepas Brazil disenaraikan dalam 36 negara yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan Amazon. Ia menyebabkan berlaku sekatan ekonomi memberikan bandar tersebut dua pilihan sama ada melawan arahan tersebut atau membuat penyelesaian untuk sekurang-kurangnya memelihara apa yang sedang dimiliki.
Adnan Demachki, 46, kelihatan tidak seperti seorang pejuang alam sekitar. Peguam yang bertubuh gempal dan berkaca mata itu dibesarkan di bandar tersebut serta merupakan datuk bandar ketika ia mengalami penggondolan hutan paling teruk.
"Bandar kita disenarai hitam oleh kerajaan. Tiada jalan keluar selain memilih cara terbaharu ini," kata Demachki.
Jalan terbaik
Rancangan bandar hijaunya menyasarkan untuk menghapuskan semua kegiatan pembalakan haram melalui pelbagai penguatkuasaan seperti penubuhan polis alam sekitar dan mempromosi ekonomi yang tidak bergantung pada aktiviti pembersihan hutan.
Ia memberi fokus pada pembangunan secara mapan dengan menjalankan pengurusan hutan terbaik untuk industri kayu selain memperkenalkan teknik pertanian moden bagi meningkatkan kualiti sambil mengurangkan penggunaan tanah.
Sejak kebelakangan ini, kejayaan Demachki dipuji oleh pihak berkuasa alam sekitar yang sebelum ini merupakan badan paling lantang mengutuk bandarnya.
"Paragominas adalah contoh kejayaan mengatasi masalah pembasmian hutan dan memulakan transisi ekonomi yang boleh memelihara hutan.
"Mereka menukar pendirian dan ikut arahan para pemimpin menggunakan kaedah alternatif yang boleh wujud bersama dengan hutan," ujar ketua di jabatan yang bertanggungjawab melawan kemusnahan Amazon, Kementerian Alam Sekitar, Mauro Pires.
Hutan hujan Amazon merupakan pertahanan terbesar melawan pemanasan global dengan bertindak sebagai penyerap gergasi karbon dioksida. Dengan membalak hasil buminya, dunia bukan sahaja kehilangan pertahanan tetapi, kemusnahannya boleh menambahkan masalah.
Kira-kira 75 peratus pencemaran Brazil datang daripada aktiviti pembersihan hutan hujan, kaedah pertanian secara pembakaran dan pereputan balak. Dianggarkan sebanyak 400 juta tan karbon dioksida ke ruang atmosfera setiap tahun menjadikan Brazil negara keenam pengeluar gas tersebut.
Hampir 20 peratus hutan Amazon di Brazil telah dibersihkan.
Penyelamat hutan
Ramai pakar berpendapat, eksperimen Paragominas sangat penting kerana ia menunjukkan kemungkinan untuk menyakinkan penduduk tempatan.
Buat pertama kali pada tahun 2008, kerajaan Brazil telah meletakkan sasaran yang konkrit dengan memperlahankan kemusnahan hutan hujan melalui pengurangan kawasan sehingga 5,000 kilometer persegi pada tahun 2017.
Ejen bersenjata menjadikan Paramigos sebagai sasaran selain 36 negara yang disenarai hitam melalui cara mengenakan denda yang besar, menyita lembu dan menutup kilang papan.
Ejen persekutuan di Paragominas yang berkepadatan 100,000 orang telah menutup hampir 300 kilang papan haram. Sebanyak 2,300 sumber pekerjaan hilang dan kerjaan persekutuan turut memotong kredit pertanian.
Langkah pertama pakatan bandar hijau adalah dengan menandatangani perjanjian melibatkan semua peringkat masyarakat supaya bersetuju untuk menegakkan undang-undang melarang pembalakan haram.
Ia bekerjasama dengan kumpulan alam sekitar berpusat di Amerika, The Nature Conservancy yang mempunyai kepakaran dan mengetahui selok-belok memastikan rancangan tersebut berjaya.
Kakitangan konservasi menggunakan imej satelit untuk menentukan sempadan ladang dan tuan tanah diberi surat ikatan yang sah. Tuan tanah diberitahu luas kawasan hutan yang masih tinggal dan keluasan yang perlu ditanam semula. Mereka juga mengajar penternak dan petani kaedah terbaik untuk mengurus tanah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: