Thursday, December 22, 2011

Industri muzik Malaysia dan Indonesia kukuhkan lagi kerjasama

Satu memorandum persefahaman (MoU) di antara Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM), Asosiasi Industri Rekaman Indonesia (ASIRI) dan PT.AS Industri Rekaman Indonesia (ASIRINDO) telah ditandatangan di DEA Tower 1, Mega Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia pada 14 Disember lalu.

Menerusi pelaksanaan MOU ini, RIM kini telah merasmikan visinya untuk memupuk hubungan erat di antara industri muzik Malaysia dan Indonesia yang berkongsi hubungan budaya yang erat dan bahasa yang sama.

RIM serta anak syarikat perlesenan kolektif milik sepenuhnya, PPM bersama-sama dengan rakan-rakan Indonesia, ASIRI dan ASIRINDO akan bekerjasama secara rapat dan agresif untuk pembangunan merentas sempadan hubungan industri muzik dan perniagaan di antara Malaysia dan Indonesia.

Antara inisiatif kerjasama yang dipersetujui adalah sokongan bersama dan pengiktirafan antara satu sama lain rancangan anugerah muzik nasional tahunan iaitu Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Muzik Indonesia (AMI) dengan RIM dan ASIRI masing-masing memperuntukkan satu slot rancangan anugerah secara langsung untuk artis-artis rakaman ahli-ahli mereka.

RIM dan ASIRI turut menetapkan sasaran untuk ahli-ahli masing-masing untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 10 buah lagu gabungan Indonesia-Malaysia untuk jualan komersial dalam tahun pertama kerjasama ini.

“Bagi pihak industri rakaman Malaysia, saya mengalu-alukan Memorandum Persefahaman bersejarah ini yang menandakan peningkatan kerjasama dan perdagangan dua hala di antara industri muzik Malaysia dan Indonesia yang akan saling memperkayakan lagi budaya kedua-dua negara.

“ RIM kini dipandang sebagai persatuan yang progresif dan berwibawa, dan bersama dengan sumbangan penting perlesenan PPM, kedua-dua badan Malaysia ini telah diakui sebagai antara yang terbaik di rantau Asia Pasifik,” kata Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim.

Satu lagi tujuan utama MOU adalah untuk PPM untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman untuk memberi perkhidmatan perundingan pelesenan hakcipta secara kolektif kepada pengurusan ASIRINDO dalam isu-isu pelesenan hak cipta dan melaksanakan kutipan dan pengagihan royalti berdasarkan peruntukan undang-undang Indonesia.

Sementara itu, Pengerusi PPM, Adrian Lim berkata dia amat berbangga kerana PPM dan RIM dapat berkongsi pengalaman dengan industry rakaman Indonesia dalam perlesenan kolektif untuk membantu peningkatan pendapatan perlesenan persembahan awam, penyiaran dan pengeluaran semula yang telah semakin penting untuk syarikat rakaman untuk terus melabur dan menghasilkan artis serta rakaman muzik yang hebat.

Menurut Yessi Kurniawan, Pengurus Besar ASIRINDO, pihaknya membuat keputusan untuk bekerjasama dengan RIM dan PPM kerana kedua-dua organisasi dari Malaysia ini telah membangunkan sistem perlesenan hak cipta kolektif yang baik dan amat telus dalam pengagihan royalti kepada ahli-ahlinya.

“RIM dan PPM adalah dua badan yang berjaya bukan sahaja untuk industri muzik di Malaysia tetapi juga di antara yang terbaik di dunia, dan kami amat berbangga atas kerjasama mereka sebagai rakan kami,” kata Yessi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: