SAMA seperti sebuah istana Melayu yang cantik dan mempesona pandangan mata, begitulah juga Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur yang berdiri megah di tengah-tengah ibu kota.
Mengambil seni reka tradisional sebagai simbol dan inspirasi pada jenamanya, Royal Chulan bukanlah satu jenama asing bagi kebanyakan pelancong yang menuntut penginapan yang selesa dan terbaik.
Apatah lagi hotel itu berdiri di lokasi strategik di Jalan Conlay yang menjadi destinasi titik pertemuan budaya, makanan, beli-belah dan bisnes. Ini sekali gus menjadikan Royal Chulan sebagai sebuah hotel terbaik untuk melihat variasi 'wajah' Kuala Lumpur.
Hotel ini menggembirakan hati tetamunya dengan menawarkan keselesaan dan dekorasi kontemporari yang pelbagai tekstur daripada hasil seni kayu.
Unik
Segalanya nampak sempurna kerana dekorasi yang ditampilkan sangat unik dan mewah.
Melangkah masuk ke pintu gerbang hotel yang terletak di Kuala Lumpur tidak akan terbayang tata hias dalamannya sangat menarik.
Berbeza dengan tempat penginapan lain, hotel ini menerapkan unsur atau keindahan seni bina Melayu.
Gaya moden menjadi pilihan utama setiap bilik yang berlatarkan warna alam semula jadi seperti coklat.
Apa istimewanya bilik ini? Setiap bilik mempunyai ruang yang luas dengan katil yang cukup selesa. Sebuah televisyen dan kerusi rehat yang ringkas.
Warna dinding dan kebanyakan perabot juga menenangkan jiwa dengan pemilihan warna yang sejuk dan harmoni.
Landskap
Tidak ketinggalan, landskap hotel itu dipenuhi dengan keunikan tumbuhan tropikal.
Sambil berehat melihat pemandangan taman, pengunjung dapat menyaksikan keindahan tumbuh-tumbuhan yang cantik dan disusun indah.
Air jernih kolam yang dibina antara elemen tercantik landskap Royal Chulan.
Santai tetapi mengkagumkan kerana gabungan moden dan tradisional berjaya menampilkan keindahan suasana sekeliling hotel .
Singgah di kafe Warisan, pengunjung akan memulakan sarapan pagi sambil menikmati hampir 500 hidangan.
Pengarah Makanan dan Minuman Hotel Royal Chulan, Azrule Datuk Aziz memilih perabot meja dan kerusi moden untuk memberikan suasana eksklusif kepada pengunjung.
Pilihan makanan Melayu menjadi keutamaan selain hidangan antarabangsa yang lain.
Tidak keterlaluan jika penulis menggambarkan hotel ini sebagai syurga makanan.
Kebanyakan pengunjung ingin kembali ke hotel ini untuk menikmati kelazatan sajian menu. Jika dilihat dari segi dekorasi bilik, mahupun kemudahan lain seperti kolam, kita mungkin menemuinya di hotel lain.
Namun setiap pengunjung ke hotel ini tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan kenangan berlatarkan tata hias yang cantik.
Landskap semula jadi dan dekorasi dalaman hotel yang moden menjadikan Royal Chulan sebagai ikon baru pelancongan Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: