SUBANG JAYA - Dua pengedar dadah bergelar 'Geng Cicak' yang baru sebulan mencuba nasib mencari rezeki dengan melakukan kerja haram tidak bertahan lama apabila mereka dicekup dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Kinrara dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, polis melakukan serbuan di kondominium itu pada pukul 10 pagi dan mulanya menahan seorang suspek di tempat letak kereta kondominium tersebut.
"Ketika ditahan suspek berusia 27 tahun sedang menghidupkan kereta Toyota Camry untuk keluar.
"Ketika ditahan berlaku pergelutan, namun suspek itu kemudian menyerah diri," kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan suspek kedua berusia 39 tahun di sebuah unit kondominium yang disewa oleh kedua-dua sahabat tersebut.
Kedua-dua sahabat itu bergelar 'Geng Cicak' kerana masing-masing mempunyai tatu berupa seekor cicak pada bahagian dada kiri mereka.
Abdul Razak memberitahu, polis yang memeriksa rumah itu menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, ekstasi, syabu, dan pil kuda yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM80,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: