Saturday, December 17, 2011

Doktor ditikam pesakit berang


PESAKIT yang menikam seorang doktor di sebuah klinik di Jalan Magazine, George Town diberkas polis kelmarin.


GEORGE TOWN - Berang kerana lambat mendapatkan rawatan, seorang pesakit bertindak menyerang lalu menikam seorang doktor di sebuah klinik swasta di Jalan Magazine di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9 malam itu dipercayai berlaku rentetan daripada suspek yang berusia 67 tahun itu terpaksa menunggu lama ketika pergi ke klinik itu untuk berjumpa doktor pada Rabu lalu.

Suspek yang tidak sabar menunggu gilirannya untuk masuk berjumpa doktor meninggalkan klinik tersebut yang ketika itu mempunyai ramai pesakit.

Kelmarin suspek muncul semula ke klinik itu namun dia enggan membuat pendaftaran dengan alasan dia sudah mendaftar pada hari Rabu lalu.

Semasa itu, klinik tersebut mempunyai 10 pesakit yang menunggu giliran untuk berjumpa doktor. Suspek ketika itu kelihatan gelisah dan mundar-mandir di ruang pendaftaran.

Selepas kira-kira 10 minit bersikap tidak menentu di ruang menunggu, lelaki itu tiba-tiba meninggikan suara kepada seorang petugas wanita di klinik terbabit untuk bertemu dengan doktor.

Petugas di klinik itu gagal meredakan keadaan menyebabkan doktor, Lee Kok Seng, 50, membenarkan lelaki itu masuk ke bilik rawatan.

Namun belum sempat doktor memeriksa lelaki itu, suspek terus mengeluarkan sebilah pisau pemotong buah dan mencederakan bahagian rusuk kiri doktor itu.

Semasa kejadian hanya doktor berkenaan berada di bilik rawatan manakala pembantunya berada di luar bilik rawatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: