Saturday, December 10, 2011

Fokus kepada teknologi kenderaan paling maju



PENGANJUR acara pemotoran paling signifikan di Jepun, Persatuan Pengilang Automobil Jepun (JAMA) mengakui bahawa Tokyo Motor Show 2011 (TMS 2011) yang bermula pada 30 November lalu dan berakhir pada hujung minggu ini sebenarnya ada misi tersendiri.

Misinya, mahu melebarkan asas peminat kereta dan motosikal dalam kalangan generasi muda terutama di Jepun. Selain itu, JAMA mahu kembali mengangkat TMS 2011 sebagai acara pemotoran penting di dunia, selepas status itu secara tidak rasminya mula dirampas oleh China dan India sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jadi, JAMA harus menukar strategi dan melakukan sesuatu. Hasilnya, badan itu mahu menjadikan TMS 2011 selaku peneraju teknologi dalam dunia pemotoran. Di samping bertindak selaku sumber maklumat kepada teknologi tercanggih yang menghubungkan antara kenderaan, bandar dan manusia. Maka, tidak hairanlah jika teknologi yang diperkenalkan di sana adalah teknologi untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Tema pada tahun ini ialah mobiliti boleh mengubah dunia. Ia dijelaskan lagi menerusi pameran Smart Mobility City. Di sana, pengunjung boleh melihat usaha mobiliti untuk menangani isu-isu seperti pencemaran alam sekitar dan kekurangan sumber tenaga.

“Kami juga akan menunjukkan bagaimana mobiliti itu memberi sumbangan kepada masyarakat melalui kemajuan teknologi yang ada pada kenderaan,” kata Pengerusi JAMA, Toshiyuki Shiga.

Kali ini, acara TMS 2011 diadakan di Big Sight Tokyo dan bukannya dewan di Makuhari Messe di Chiba sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Pameran dibahagikan dua lokasi utama iaitu dewan timur (East Hall) dan barat (West Hall).


DAIHATSU Copen sesuai untuk golongan berjiwa muda.


Jarak di antara kedua-dua buah dewan tersebut agak jauh. Mujur juga terdapat banyak tempat makan, kedai serbaneka dan gerai jualan cenderamata TMS 2011 sepanjang laluan tersebut.

Tugas rasmi saya pada hari itu bermula apabila Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Motor Co., Takanobu Ito memperkenalkan produk-produk yang dibangunkan oleh pasukan jurutera Honda.

Apa yang menarik perhatian pastinya beberapa model konsepnya termasuklah jentera elektrik (EV) EV-STER, AC-X dan Micro Commuter Concept.

EV-STER merupakan model sports konsep generasi akan datang berkuasa elektrik. Model convertible dua tempat duduk itu dibina menggunakan material karbon ringan dan mengaplikasikan pacuan roda belakang.

Menawarkan prestasi tinggi, jentera yang membolehkan bumbungnya dibuka itu mampu bergerak sejauh 160 kilometer untuk sekali cas.

Sementara model AC-X ialah sebuah sedan dengan bentuk coupe yang membolehkan pemandu membiarkan sistem auto-pilot membawa anda ke lokasi yang diingini.

Paling menarik dan futuristik pastinya model Micro Commuter Concept. Memperoleh kuasa daripada bateri lithium ion, jentera yang boleh memuatkan tiga orang penumpang itu dibina untuk kegunaan dalam setting urban sahaja.

Lebih menarik lagi, ia digabungkan dengan sebuah jentera kecil diberi nama Motor Compo. Motor compo yang boleh dilipat itu berfungsi sebagai komunikator, selain menjadi tempat mengecas telefon bimbit, radio dan perehat tangan!

Honda juga mempamerkan dua buah motosikal berkuasa elektrik. E-Canopy yang mempunyai tiga roda kecil dilihat sebagai sebuah skuter ringan dan sesuai sama ada untuk kegunaan persendirian atau komersial.


SUZUKI Q-Concept mengetengahkan warna oren yang pastinya kelihatan ceria.


Aspek perlumbaan tidak pernah padam dalam DNA Honda. Buktinya, motosikal RC-E dibina berdasarkan kepada motosikal lumba tahun 1960-an. Dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya, jentera dua roda itu memiliki segalanya sebagai sebuah motosikal lumba, kecuali bunyi enjin yang memekakkan telinga.

Selain kenderaan konsep, Ito turut mengumumkan bahawa akan mula memasarkan N BOX pada 16 Disember 2011 di Jepun. Sebenarnya, N BOX ialah model pertama daripada kenderaan mini baharu keluaran Honda yang dikenali sebagai N Series.

Honda menghasilkan N Series dengan penuh kesungguhan demi menawarkan satu rangkaian kenderaan baharu dan terbaik untuk pasaran Jepun. Ia dibina di atas platform dan dipasang dengan enjin terkini Honda. Aplikasi enjin dan transmisi yang lengkap dengan sistem melahu berhenti (idle stop) juga menjamin penjimatan bahan api.

Para pengunjung di pameran Honda juga tidak melepaskan peluang untuk melihat secara dekat model SUV terlarisnya, CR-V selepas membuat debut di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Pengguna di Jepun sudah boleh membelinya sejak 2 Disember lalu, namun bagi peminat CR-V di Malaysia tarikh untuk kenderaan itu dibawa masuk ke pasaran tempatan masih belum dapat dipastikan.

CR-V generasi keempat itu ditawarkan dalam dua varian enjin iaitu 2.0 dan 2.4 liter bersama padanan transmisi automatik lima kelajuan atau CVT.

Selain Honda, kawasan pameran pengeluar yang lain tidak kalah dalam mengetengahkan teknologi terkini masing-masing. Toyota misalnya, mengkagumkan semua dengan model konsep Fun-Vii.

Nama kenderaan yang terhasil daripada “Fun Vehicle interactive internet” itu menunjukkan bagaimana manusia, kereta dan komuniti harus berhubung dengan masa depan.


DIKENALI sebagai Audi A1 Samurai Blue, ia merupakan model edisi khas untuk peminat pasukan bola sepak Jepun.


Di sebelah Toyota, Daihatsu mempamerkan kepakarannya dalam pembinaan kenderaan kompak. Model-model seperti D-X, PICO dan FC Sho Case ternyata berjaya membuatkan ramai pengunjung tidak henti-henti merakam gambar serta melihatnya secara dekat.

Berbeza dengan pameran sama dua tahun lalu, TMS 2011 disertai oleh banyak pengeluar kenderaan dari Eropah. Volkswagen dilihat antara yang paling agresif dengan melancarkan beberapa buah model terbaharunya.

Beetle, Passat Alltrack, Passat CC dan Cross Coupe dilihat cuba untuk terus menarik minat pengguna di Jepun memiliki kenderaan Volkswagen selepas sukses dengan model seperti Golf di sana.

Biarpun sukar, TMS 2011 dilihat cuba sedaya upaya untuk bangkit dan kekal relevan dalam persaingan acara pameran kenderaan berskala global di pentas dunia. Sama ada momentum itu berjaya dikekal dan ditambah baik pada masa akan datang, kita tunggu dan lihat pada TMS 2013 nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: