Sunday, December 18, 2011

Festival keluarga antarabangsa di PICC


Sh Tawfique Chowdhury merupakan pengasas Mercy Mission Worldwide.


Keutuhan institusi keluarga adalah gambaran kepada kekukuhan masyarakat dan negara secara keseluruhan.

Ini kerana institusi keluargalah yang membentuk masyarakat sekali gus menentukan hala tuju sesebuah negara.

Menyedari kepentingan itu Mercy Mission Malaysia (MMM), sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kesejahteraan masyarakat sejagat, telah menganjurkan Festival Keluarga Twins of Faith.

Festival keluarga yang julung kali diadakan itu dijadual berlangsung pada 24 hingga 25 Disember ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pengurus Besar Mercy Mission Malaysia, Sajid Hussain berkata, ini merupakan festival keluarga bertaraf antarabangsa yang pertama diadakan yang menghimpunkan pelbagai acara berkonsep Islam, ilmiah dan kekeluargaan.

Katanya, festival tersebut adalah peluang keemasan bagi masyarakat di negara ini untuk berjumpa serta berkenalan bagi merapatkan silaturahim sesama insan.

Majlis seperti ini juga memberi peluang untuk orang ramai berkongsi pengetahuan, di samping merasai sendiri pengalaman dalam acara kemasyarakatan dan kekeluargaan semua lapisan sama ada beragama Islam mahupun bukan Islam.

Acara utama festival tersebut ialah sesi ceramah yang membariskan penceramah-penceramah terkenal dari dalam dan luar negara.

"Malaysia sentiasa menjadi hab utama dalam perkembangan Islam dan untuk acara ini MMM telah mengundang barisan penceramah terbaik dunia dan penceramah terkemuka kelahiran Malaysia sendiri, yang sememangnya arif dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

"Ceramah yang akan disampaikan merangkumi pelbagai aspek ilmu Islam yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Antara penceramah luar negara yang ditampilkan seperti SH. Alaa El Sayed, Dr. Abu Ameenah Bilal Philips dan Sh. Navid Aziz ketiga-tiganya dari Kanada; Abdur Raheem Green ( United Kingdom); Sh Tawfique Chowdhury dan Sh Yahya Ibrahim (Australia).

Selain itu tidak ketinggalan penceramah dari Malaysia seperri Dr. Mazlee Malik, Sh. Hussein Yee, Dr. Zaharuddin Rahman, Datin Dr. Nor Azizah Mohd. Taib, Prof. Dr. Harlina Siraj, Wardina Safiyah dan ramai lagi.

Turut dibawakan penceramah jemputan istimewa, iaitu angkasawan negara, Dr. Faiz Khaleed.

Selain ceramah, festival dua hari itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti

berkonsep Islam dan kekeluargaan, dan tidak dilupakan persembahan daripada artis dari dalam negara dan antarabangsa, sesuai untuk pengisian seisi keluarga Muslim juga bukan Muslim yang gemarkan majlis ilmuan dan hiburan bertema kekeluargaan.

Sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri yang sentiasa memberi penghormatan dan keistimewaan kepada kaum wanita, Festival Keluarga Twins of Faith ini turut menyediakan dewan khas khusus untuk para ibu dan kaum wanita bagi memastikan keselesaan mereka yang perlu menyediakan keperluan bayi dan anak kecil.

Istimewanya, pada masa yang sama mereka masih dapat mengikuti ceramah ilmiah secara langsung dari dewan auditorium.

Mereka juga berpeluang mengikuti aktiviti-aktiviti yang disediakan khas untuk kaum ibu dan wanita di dewan khas ini seperti kaunter perkhidmatan kesihatan dan kaunter nutrisi, selain daripada ceramah kesihatan dan penyusuan bayi.

Aktiviti-aktiviti hebat juga telah disediakan untuk anak-anak di sebuah dewan khas yang bersebelahan Bilik Ibu-Ibu, untuk anak-anak di bawah 12 tahun.

Dinamakan Zon Permainan Kanak-Kanak, masih berkonsep Islamik di mana pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik seperti sesi bercerita, tayangan filem, hiburan bersama ikon animasi terkenal dan permainan lainnya.

Untuk keterangan lanjut berkenaan Festival Keluarga Twins of Faith dan Mercy Mission Malaysia, sila hubungi talian 012-6730257 my@twinsoffaith.com atau lawat laman web kami di www.twinsoffaith.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: