Sunday, December 18, 2011

Dian sentiasa bersyukur




Dia memiliki wajah ayu, muda dan bergaya. Walaupun mempunyai darah kacukan Siam dan India, jiwa Melayu dekat dengan dirinya.

Bicaranya matang dan bersahaja membuatkan ramai mudah mendekatinya.

Bercita-cita menjadi pereka fesyen dan pelukis terkenal, Hardiana Hidayah Azni, 25 yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Halus mahu dirinya dikenali ramai menerusi bakatnya.

Lebih mesra dengan panggilan Dian Azni, anak kelahiran Pulau Pinang ini menganggap bidang seni halus sangat mencabar.

“Sebagai seorang yang baru menceburi bidang ini, sangat sukar untuk mendapat tawaran. Tanpa disedari, banyak bakat-bakat yang wujud di sekeliling kita.

“Setiap orang ada keunikan masing-masing. Jurugambar serta khalayak ramai juga ada minat yang berbeza-beza. Jika Allah mengizinkan kita untuk mendapat apa-apa tawaran, Alhamdulillah, itu rezeki kita. Tetapi jika kita terlepas apa-apa peluang, janganlah pula berputus asa dan bersangka buruk terhadap orang yang membuat keputusan. Saya sering mengingati diri saya yang saya bukanlah yang terbaik, dan saya perlu sentiasa mempelajari sesuatu yang baru dari orang lain,” ujarnya.

Sebagai remaja yang meningkat dewasa, Dian Azni juga menitik beratkan soal penjagaan kecantikan.

Baginya, kecantikan datang daripada dalaman diri seseorang itu.

“Saya tidak terlalu fasih tentang barangan kecantikan, hanya menggunakan produk Safi Balkis dari dulu lagi. Alhamdulillah kulit saya tidak ada apa-apa masalah, jadi mudah untuk dijaga. Selebihnya saya banyak minum air mineral dan elakkan makan masakan berminyak,” katanya.

Berkongsi rahsia tentang resipi penjagaan diri, Dian Azni sering bersenam ringan seperti stretching setiap pagi dan sekali-sekala berjoging.

Di sebalik kelembutannya, Dian Azni juga gemar mendaki bukit.

“Aktiviti luar inilah yang banyak membantu saya mendapatkan berat badan yang ideal. Selain itu, kebetulan juga berat badan saya pula susah naik walaupun saya tidak boleh hidup tanpa makan nasi walaupun sehari. Alhamdulillah, berat badan saya tetap tidak berubah banyak,” katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: