Monday, December 5, 2011

Eksperimen berani Balenciaga


TAMPAK gagah di luar namun padanan dres rona lembut memberikan aura kelembutan pada diri pemakainya.


KOLEKSI musim luruh dan sejuk Balenciaga rekaan Nicolas Ghesquiere memberikan satu gaya unik dengan imej futuristik tetapi lembut apabila mendapat sentuhan rona siluet dan potongan fabrik berlapis.

Tatkala si gadis berjaket kulit rona hitamnya menghayun langkah maskulin, gabungan skirt berombak lembut sekali gus mencetus emosi luar biasa terhadap signatur rekaan kali ini.

Rekaan terbaharu itu diinspirasikan daripada jaket kait bomber yang mempunyai volum dan bentuk seakan-akan kepompong. Tampak gagah, fabrik tradisional itu digantikan dengan kulit yang dilapisi dres sutera di dalamnya.

Cetakan-cetakan rekaan itu dibuat dengan mengambil inspirasi haiwan dan ton bumi. Kelihatan telus, rekaan berjalur untuk fabrik kait serta fabrik nilon menampakkan sedikit dres yang dipakai di dalamnya.

Refleks siluet dalam Ghesquiere pula memainkan variasi skala dan lapisan-lapisan. Jaket bomber bersaiz besar dan potongan leher kura-kura dan V tampak longgar seperti lazim busana untuk si jejaka.

Tetapi, blaus rona terang dan skirt yang dipadankan memberi kontras nyata kepada rekaan kali ini, lebih-lebih lagi panel jaket yang tampil dalam rona gelap dengan siluet monokromatik yang dihiasi perincian rantaian bagi memberi suntikan misteri.

Ciri feminin

Kot lelaki yang besar dipakai bersama dres feminin dan elegan atau seluar yang mempunyai gabungan fabrik satin seakan-akan kulit. Seluar ini juga dipakai dengan pakaian yang bersifat feminin. Semua gaya ini merupakan legasi dan signatur Ghesquiere.

Rekaan jaluran itu juga tampil dengan rekaan-rekaan lain yang lebih ringkas tetapi bersifat geomatrik bagi mencerminkan tema keagamaan mengikut terjemahan pereka ini.

Lipatan dan potongan merupakan elemen penting rekaan-rekaan sebegini yang menggunakan fabrik metalik. Kemudian, ia dilengkapi dengan rekaan seluar yang diberikan perincian seperti tenunan dan manik-manik.


BLAUS rona terang dan rantaian yang memberikan imej misteri kepada rekaan ini.


Selain itu, top yang longgar dan membungkus dalam siluet blok warna dipadankan dengan seluar atau skirt berona monokromatik bagi memberikan gaya yang bersifat grafik dan emosi rahib.

Penampilan itu kelihatan seperti kot edisi Pliage yang suci dan ringkas iaitu koleksi tahun 1965.

Material dalam koleksi ini meskipun memberi sentuhan moden dengan knit nilon dan fabrik seakan-akan kulit, masih kelihatan klasik dan kemas hasil penggunaan fabrik krep dan satin.

Ton warnanya kelihatan klasik, bersama palet rona hitam, plum, kelabu dan ivori yang memainkan peranan penting bagi koleksi musim ini. Ia mencerminkan emosi yang diterangi kilauan warna, tampak segar dan bertenaga.

Beg genggam yang diperbuat daripada kulit, fabrik kulit tiruan atau kait antara aksesori yang dipadankan untuk himpunan musim luruh/sejuk ini. Begitu juga dengan kasut tumit tinggi stiletto yang boleh didapati dalam dua rona iaitu metalik dan kulit eksotik seperti iguana dan tilapia.

Himpunan koleksi aksesori ini juga memberikan efek kontras ke atas koleksi busana musim luruh dan sejuk Balenciaga. Ia turut memberikan dimensi mewah ke atas koleksi ini secara keseluruhan.

Butik Balenciaga dibuka pada bulan September lalu di tingkat bawah, Suria KLCC.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: