|
|
SETIAP wanita mahu tampil cantik dan bergaya dalam setiap acara, namun kesilapan memilih aksesori yang bersesuaian kemungkinan menyebabkan seseorang itu terperangkap dengan imej yang salah.
Masalah itu wujud kerana wanita mungkin kurang memilih aksesori mengikut kesesuaian acara. Justeru, jenama aksesori wanita Bonita memperkenalkan lima tema gaya hidup untuk membantu wanita meningkatkan kecantikan dan keyakinan mereka.
Melalui perunding gaya Datin Sharifah Shawati Syed Mohd., Bonita memperkenalkan aksesori pilihan gaya asas untuk setiap hari, ke tempat kerja, aktiviti berlibur, acara petang glamor dan gemerlapan malam.
Menurut Sharifah Shawati, aksesori asas setiap hari mestilah ringkas tetapi mencerminkan sisi feminin dan kelihatan versatil.
"Aksesori yang sesuai digayakan antaranya ialah aksesori yang dibuat daripada metal tetapi tidak terlalu berat dan keterlaluan serta tampak ceria.
"Sekiranya fokus wanita adalah kepada aksesori kepala seperti headband, pilih subang yang ringkas dan lebih kecil atau gelang yang disuaipadankan dengan dua material berbeza tetapi sepadan," katanya pada bengkel kecantikan Bonita di Ampwalk, Ampang Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbeza dengan aksesori untuk ke tempat kerja, Sharifah Shawati memberitahu, wanita perlu tampil dengan lebih ringkas iaitu pemilihan subang, cincin dan gelang yang lebih kecil.
"Pilih sama ada mahu gayakan cincin atau gelang dan cukuplah seutas rantai yang ringkas serta subang yang kecil bagi mereka yang tampil dengan pakaian formal.
"Berbeza dengan mereka yang bekerja dalam persekitaran yang lebih ceria seperti bidang penyiaran dan pengiklanan kerana mereka boleh menggayakan aksesori lebih santai dan berwarna-warni sesuai dengan penampilan semi formal," katanya.
|
|
Suai padan tiga jenis aksesori berlainan material pula sesuai untuk aktiviti berlibur. Menurut Sharifah Shawati, penampilan sebegitu memberikan imej ceria tetapi aksesori yang dipilih mestilah padan dengan aksesori lain.
"Kadangkala logam dan mutiara sesuai dipadankan begitu juga aksesori yang mempunyai warna yang padan dengan pakaian yang digayakan.
"Mereka yang menggayakan aksesori yang pelbagai harus menitik beratkan pemilihan pakaian terutama pakaian yang mempunyai cetakan agar tidak terlalu serabut," jelas beliau.
Dalam pada itu, pemilihan aksesori untuk acara petang yang glamor mestilah berciri elegan dan bergemerlapan seperti mutiara dan berlian tetapi tidaklah terlalu sarat.
"Penggunaan dua jenis aksesori berlainan warna juga sesuai terutama hitam putih atau gabungan dua material berbeza iaitu berlian dan mutiara.
"Sekiranya anda memilih untuk memakan cincin di jari tangan kanan, hiasi tangan kiri dengan gelang yang sepadan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: