DRB-HICOM majukan Pulau Rebak

Melihatkan kedudukan Pulau Rebak yang strategik dan berpotensi, DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) melalui anak syarikat milik penuhnya, Rebak Island Marina Bhd (Rebak) berhasrat membangunkannya sebagai projek pembangunan hartanah bertaraf dunia dengan ciri menyamai konsep kediaman percutian mewah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil berkata, pelaksanaan Pelancongan Langkawi melibatkan anggaran pelaburan RM5 bilion dalam tempoh lima tahun dan 92 peratus daripada jumlah itu menerusi pelaburan pihak swasta, manakala bakinya dijangka peruntukan kerajaan sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2012.

“Ia inisiatif yang sangat dialu-alukan bagi pulau ini kerana kesinambungan daripada apa yang terkandung dalam blueprint asal pembangunan Langkawi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

“Saya yakin pelan perancangan lima tahun secara menyeluruh ini dan kerjasama serta penglibatan semua pihak, anggaran kerajaan menggandakan pendapatan pelancongan kepada RM3.8 bilion menerusi kedatangan tiga juta pelancong ke Pulau Langkawi menjelang 2015 tercapai,” katanya.

Mohd Khamil berkata, DRB-HICOM menerusi sayap Hartanah, Aset dan Pembina-annya mengenal pasti salah satu strategi bagi Pulau Rebak adalah pembangunan kediaman percutian ‘butik’ mewah yang akan dipasarkan kepada pembeli khusus dalam dan luar negara.