Tuesday, December 13, 2011

Di sebalik nadi kota Paris

Gemerlapan cahaya lampu 'menghidupkan' suasana malam Menara Eiffel.

SUHU dingin menggigit tulang-tulang. Otot-otot kaki semakin kebas sewaktu mendaki ratusan anak tanggga hanya untuk ke aras satu.

Itu belum lagi hendak ke aras dua di mana penulis perlu menaiki sejumlah 1,652 anak tangga untuk berada di kedua-dua aras. Semuanya gara-gara barisan yang panjang untuk beratur bagi membeli tiket masuk ke Menara Eiffel, mercu tanda utama di kota Paris.

Penulis mengambil jalan mudah dengan menggunakan laluan tangga yang turut menjimatkan kos namun tidak dinafikan kaedah itu memenatkan.

Dunia ini sangat kecil apabila penulis bertemu dengan seorang rakan yang sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Menara Eiffel.

Dia ketika itu bertugas sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat penerbangan dalam lawatan hari terakhirnya di Paris selesai menghadiri satu kursus.

Itu antara kenangan penulis di Menara Eiffel pada musim bunga tahun 2009. Selepas dua tahun penulis kembali ke sini pada musim luruh.

Aksi seorang penunggang teksi basikal beroda tiga di tengah kota Paris.

Ketika ini bukan waktu puncak untuk lawatan sekali gus memudahkan penulis naik ke aras satu menara itu menggunakan lif tanpa perlu beratur panjang.

Kota romantik

Pemandangan dari Menara Eiffel begitu mengujakan kerana dapat melihat sebahagian besar kota Paris yang diberikan jolokan ‘kota romantik’.

Namun tarikan magnet kota Paris bukan sekadar Menara Eiffel setinggi 324 meter atau disamakan dengan ketinggian bangunan 81 tingkat.

Kedudukan hostel Le Regent di Rochechouart yang dihuni penulis begitu strategik berikutan begitu hampir dengan Montmarte, puncak tertinggi di bandar itu.

Di sini menempatkan monumen Sacre Coeur sebagai gereja bagi penganut Roman Katolik yang siap dibina pada 1914 rekaan arkitek Paul Abadie.

Kemeriahan replika kincir angin berlampu neon warna merah di jalanan pada jarak lebih kurang 500 meter dari Rochechouart tidak dapat disangkal pada waktu malam.

Kelab Moulin Rouge menghidangkan persembahan tarian kabaret secara eksklusif mengimbau romantisnya filem lakonan Nicole Kidman dan Ewan Mcgregor.

Kemasyhurannya seakan menenggelamkan premis-premis ‘panas’ berhampiran dengan kelab itu yang hanya sesuai untuk golongan berumur 18 tahun ke atas.

Salah satu kedai menjual cenderamata untuk para pengunjung di Paris.

Dan panasnya Crepe, antara makanan popular di Perancis sememangnya mengiurkan dalam kesejukan kerana kelazatan isian krim coklat dan potongan buah pisang segar.

Dari jalanan kecil, di Menara Eiffel sehingga ke Place Charles de Gaulle persimpangan paling sibuk di Paris, kebanyakan restoran dan gerai menyajikan Crepe.

Sisi lain

Di tengah-tengah Place Charles de Gaulle berdiri Arc de Triomphe, sebuah tugu yang kini menjadi simbolik kepada semangat patrotik rakyat negara itu.

Dari tugu itu, jenama mewah seperti Louis Vuitton, Hermes, Yves Saint Laurent, Dior dan Chanel antara butik pula menghiasi di sepanjang jalan Champs-Elysees.

Bersaiz separuh lebih kecil daripada Arc de Triomphe, tugu Arc de Triomphe du Carrousel pula berdiri menghadap Muzium de Lourve.

Muzium yang terletak di Palais Royal itu menyimpan banyak karya agung dunia seperti potret Mona Lisa, lukisan Leonardo da Vinci.

Kembara singkat penulis di ibu negara Perancis jelas memperlihatkan nadi yang menghidupkan kota Paris bukan bersandarkan Menara Eiffel semata-mata.

Kelab kabaret Moulin Rounge mengimbau filem lakonan Nicole Kidman dan Ewan Mcgregor.

Banyak faktor dan persekitaran mampu membongkarkan Paris pada sisi berlainan meskipun seantero dunia membayanginya sekadar kota fesyen dan kota romantik.

Ironinya, Paris tidak dapat berdiri sendiri sebagai mana-mana gelaran itu sekiranya tiada pengaruh berlandaskan tujuan dan dengan siapa untuk berkunjung ke sini.

Apa yang pasti, nadi bagaikan terhenti dan debaran memuncak saat berdiri di hadapan Menara Eiffel dengan cahaya bergemerlapan bagi sambutan ulang tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: