Monday, December 5, 2011

C-Fest 9 lahirkan graduan dinamik


Dr. Hou Kok Chung (kanan), Dr. Muhamad Muda (dua dari kanan), Zaini Hassan (kiri) dan Dr. Mohamed Asin Dollah (dua dari kiri) melihat bunting Pesta Konvokesyen selepas hadir ke Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen USIM di Nilai, semalam.


SEREMBAN 1 Dis. - Penglibatan penuntut bagi menjayakan Pesta Konvokesyen Kesembilan (C-Fest 9) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2011 adalah latihan terbaik ke arah melahirkan graduan berdaya saing dan dinamik.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, program berbentuk kepemimpinan itu diyakini berupaya mendidik serta memupuk keterampilan selain keyakinan dalam kalangan penuntut.

Katanya, penglibatan penuntut dalam program ini secara tidak langsung membolehkan mereka bijak mencatur hala tuju diri, khususnya dalam menghadapi dunia luar kini yang kian mencabar.

''Penyertaan mereka ini juga sekali gus mampu mengasah kemahiran yang tinggi untuk membuat sebarang keputusan penting dan menyelesaikan masalah diri serta organisasi dalam apa jua situasi pada masa depan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian C-Fest 9 di Stadium Tertutup Nilai, Nilai di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Usim, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda; Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah.

Menurutnya lagi, penuntut perlu memanfaatkan peluang sedemikian dalam usaha menimba ilmu dan pengalaman yang tidak boleh diperoleh melalui kursus pengajian yang diikuti.

''Ini kerana negara amat memerlukan graduan yang holistik dan seimbang dalam semua aspek agar keupayaan, potensi dan bakat diri mereka dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi membawa kecemerlangan dan kemajuan kepada negara," ujarnya.

C-Fest 9 yang berlangsung empat hari bermula hari ini hingga 4 Disember ini dianjurkan oleh USIM dengan kerjasama Kumpulan Utusan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang pesta tersebut.

Sambutan pesta tersebut turut dimeriahkan dengan pembukaan sebanyak 140 gerai jualan khusus bagi para pengunjung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: