Wednesday, December 14, 2011

The Biggest Game Show kini di Asia


Presiden Mistral, Yves Launoy (kiri) bersama David Searl (tengah) dan Simon Lockyer bersama trofi yang bakal manjadi milik negara yang menjuarai pertandingan The Biggest Game Show In The World Asia.


Rancangan realiti semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat tidak kira sama ada rancangan tersebut terbitan tempatan ataupun luar negara.

Rancangan realiti berbentuk permainan atau kuiz yang menguji minda adalah yang terawal muncul.

Program realiti uji minda yang terawal adalah rancangan Spelling Bee yang mula bersiaran pada tahun 1938 dan rancangan Truth or Consequences yang mula disiarkan pada 1941.

Kini, rancangan The Biggest Game Show In The World Asia bakal ditayangkan Januari 2012 dengan penyertaan seramai 120 peserta daripada empat buah negara iaitu, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Walaupun musim pertama rancangan itu tidak disertai oleh peserta dari Malaysia, apa yang menariknya apabila rakaman telah dilakukan sepenuhnya di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini satu sidang akhbar telah diadakan bagi mengumumkan kehadiran rancangan tersebut yang bakal menyaksikan peserta melalui pelbagai rintangan dan cabaran antaranya Human Ocean, Noughts & Crosses, Head Spinner, Baby Bull Arches dan The Champion's Wall.

Pengarah Urusan ice-TV Asia, David Searl berkata, rancangan itu terdiri daripada set permainan air dan darat, dengan pakaian yang amat melucukan yang akan menjadi suatu hiburan kepada seisi keluarga.

"Penonton akan dapat menyaksikan peserta memakai pakaian yang pelik seperti katak, burung unta dan kanggaru bertanding dalam permainan yang melibatkan air, darat dan juga udara.

"Kami memilih Malaysia sebagai hab produksi serantau kerana negara ini mempunyai kemudahan dan kemahiran yang tinggi dalam membina set pertandingan yang rumit dan mencabar," katanya.

Rancangan yang bakal menyambut ulangtahun ke-50 pada tahun 2012 dan berasal dari Perancis ini telah disiarkan di pelbagai negara termasuklah Jerman, United Kingdom, Sepanyol, Qatar, Australia dan juga China.

Kejayaan yang ditunjukkan terhadap rancangan ini selama 50 tahun di benua Eropah menjadi dorongan kepada pihak penerbit untuk melebarkan lagi sayapnya di Asia Tenggara.

Sementara itu, Pengarah Urusan ice-TV Singapura, Simon Lockyer pula memberikan jusifikasi apabila rancangan tersebut tidak disertai peserta Malaysia walaupun rakaman dilakukan di sini.

"Memang sangat mengecewakan kerana musim pertama rancangan ini tidak disertai peserta dari Malaysia, Ini kerana terdapat sedikit halangan yang tidak dapat dielakkan dan berbeza daripada perancangan asal.

"Tetapi kami yakin, ini adalah sebuah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Jika tiada aral melintang, untuk musim berikutnya nanti,dijangkakan lapan buah negara akan menyertai dan pastinya, Malaysia adalah salah satu darinya," jelasnya.

Setiap negara bakal diwakili oleh 30 peserta, dimana terdapat 15 peserta lelaki dan 15 peserta wanita berumur antara 18 hingga 40 tahun, mempunyai perwatakan yang ceria, sihat dan bersedia untuk menghadapi cabaran.

Peserta akan membuat kumpulan dan mewakili negara mereka dalam permainan yang berbeza dan markah akan dikira dengan cara pungutan mata bagi menentukan siapakah yang bakal bergelar juara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: