guru dituduh

KUALA TERENGGANU- Seorang bekas guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, terhadap tuduhan memiliki pistol tiruan dan mengugut seorang Timbalan Pendakwa Raya dan memiliki pistol tiruan.

Mansor Ngah, 47, dari Kampung Laut, di sini, dituduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna silver/coklat bertulis Dianhua 383.8 SHOOTER tanpa sebarang lesen, di rumahnya kira-kira 4.30 petang, 29 September lalu.

Mansor, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara tidak lebih dari setahun atau dikenakan denda melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh pada 25 September lalu kira-kira jam 11 pagi di lampu isyarat, Jalan Sultan Ismail, di sini didakwa mendatangkan ketakutan secara jenayah terhadap Zalina Awang, 39, dengan mengacukan sepucuk pistol tiruan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Zamri & co.

Nor Azizah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan seorang Timbalan Pendakwa Raya Terengganu berhadapan detik cemas apabila diacukan pistol oleh seorang lelaki tidak dikenali di lampu isyarat, Jalan Sultan Ismail berhadapan Agro Bank, di sini, 25 September lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi, apabila mangsa bersama anak perempuannya berumur 15 tahun menaiki kereta diacukan sepucuk pistol ke mukanya oleh seorang lelaki berserban yang menunggang motosikal.

Mansor, yang diperintahkan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini agar dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru bagi menerima rawatan psikiatri memohon untuk dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 itu.